RSS

Kerajaan Negeri Kenal Pasti Usaha Untuk Tingkatkan Paras Air Mentah Di Seluruh Selangor



Kerajaan Selangor telah membuat perancangan untuk menaikkan paras simpanan air mentah terutama di Empangan Sungai Selangor yang membekalkan 60 peratus keperluan air ke Lembah Klang sebagai sebagai persediaan menghadapi musim kering yang dijangka lebih teruk pada Mei hingga akhir September tahun ini.

Setakat 20 April 2014, paras Empangan Sungai Selangor terus menurun hingga ke bawah 40% di mana simpanan air mentah di empangan itu adalah sebanyak 89.29 Juta Meter Padu atau 38.82% berbanding 235.32 Juta Meter Padu jika empangan penuh 100 peratus.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dengan kerjasama Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KKSB) sedang giat meneroka kolam-kolam bekas lombong terutamanya di kawasan Lembangan Sungai Selangor bagi tujuan mengepam air mentah dari kolam takungan bekas lombong ke Sungai Selangor. Dengan cara ini, pelepasan air dari Empangan Sungai Selangor dapat dikurangkan dan air di empangan mampu bertahan lama.

LUAS dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga telah menjalankan aktiviti mengepam air sungai hasil hujan lebat di hilir untuk ditakungkan ke kolam-kolam sekitar Sungai Selangor untuk digunakan pada musim kering nanti.

Kita telah mengenal pasti untuk membeli pam-pam yang berkeupayaan untuk melakukan kerja-kerja pengepaman ini berbanding menyewa pam daripada pihak luar kerana ia lebih menjimatkan.

Kerajaan Negeri juga sedang mengkaji untuk meneroka air bawah tanah yang berpotensi menghasilkan air mentah antara 300 hingga 400 Juta Liter Sehari (JLH) sementara menunggu projek HORAS yang akan siap Julai 2015. Kolam takungan air bawah tanah ini disediakan dengan mengambil kira keadaan musim kering pada masa akan datang di mana pada ketika musim kering yang teruk dan berpanjangan, air permukaan seperti air sungai akan berkurangan.

LUAS juga telah diarahkan untuk menghubungi Kerajaan Thailand untuk menggunakan teknologi pembenihan awan yang dikenali sebagai “The Royal Rainmaking Technology” untuk mendapatkan hujan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.

Teknologi ini juga boleh memastikan mengapa usaha pembenihan awan yang telah dijalankan gagal menghasilkan hujan di kawasan yang dikehendaki, terutama di Empangan Sungai Selangor.

Keputusan ini dibuat selepas mesyuarat semalam bersama LUAS, JPS, Jabatan Meteorologi Malaysia, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) serta empat syarikat konsesi.

Kita menjangkakan usaha-usaha yang disebutkan di atas akan dapat menghasilkan kira-kira 1,000 JLH air mentah dan jika petunjuk pelaksanaan adalah positif dalam tempoh seminggu, Kerajaan Negeri  bersedia untuk mengkaji semula keputusan catuan air.

Buat masa sekarang, kita terpaksa meneruskan catuan kerana paras air di empangan utama iaitu Empangan Sungai Selangor masih di bawah kritikal dan air yang ada sekarang hanya mampu bertahan 29 hari jika catuan tidak dilakukan.

Kita amat berharap rakyat memahami situasi ini dan menyokong usaha-usaha Kerajaan Negeri dalam menghadapi persediaan menghadapi musim kering yang dijangka lebih teruk dan berlanjutan.

Kerajaan Negeri juga berharap pihak-pihak tertentu tidak memanipulasi keadaan ini kerana kekurangan air disebabkan faktor cuaca manakala hujan yang diterima belum cukup untuk menambah kapasiti air di empangan.


22 APRIL 2014



.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors