Apabila Datuk Seri Najib Razak bersetuju diwawancara Hamdan Ahmir
dalam Soal Jawab TV3 Edisi Khas untuk menjawab kritikan terhadapnya
termasuk daripada Tun Dr Mahathir Mohamad, perdana menteri sendiri sudah
tahu, hari-hari akhirnya sudah semakin hampir.
Ketika Najib sebagai seorang perdana menteri terpaksa pergi sendiri
untuk menjawab persoalan-persoalan ditimbulkan terhadap pentadbirannya
di media arus perdana milik partinya, ini bermakna, sudah tiada lagi
hulubalang-hulubalang dalam Umno yang sanggup atau mampu
mempertahankannya.
Di manakah timbalannya? Di manakah naib presiden? Di manakah ketua
Wanita? Di manakah ketua Pemuda? Apakah semuanya sudah meninggalkan
Najib? Ditambah pula sesi rakaman tersebut digandingkan dengan soalan-soalan
“membodek” dan bukannya bersifat kritikal gaya media perdana Malaysia
seperti dikatakan Asia Sentinel, jawapan-jawapan Najib menimbulkan lebih
banyak persoalan.
Bayangkanlah pada masa kritikal Najib berdepan dengan serangan dari
dalam dan luar Umno, soalan begini ditanya kepadanya: “Saya nak tanya
Datuk Seri, bagaimana Datuk Seri membahagikan masa dari segi weightage,
wajaran antara hal-hal keluarga, dengan hal-hal negara. Bagaimana Datuk
Seri mengimbangi perkara ini?”
Ini menyebabkan ada pihak menganggap sesi soal jawab bersama TV3 itu
merupakan “sabotaj” yang cuba dilakukan pihak-pihak tertentu terhadap
Najib untuk mempercepatkan anak kepada perdana menteri kedua Tun Abdul
Razak Hussein itu meninggalkan Putrajaya. Selain itu Najib juga tidak menggunakan sesi rakaman itu untuk
menjawab persoalan mudah ditimbulkan Dr Mahathir seperti mengapa
1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mempunyai aset RM52 bilion
meminjam RM42 bilion?
Mengapa wang berbilion ringgit 1MDB yang dibawa balik dari Pulau Cayman disimpan di bank di Singapura? Siapa beri arahan kepada Koperal Sirul Azhar Umar dan Ketua Inspektor
Azilah Hadri untuk membunuh warga Mongolia Altantuya Shariibuu? Dan
yang paling penting sekali apa motif pembunuhan Altantuya?
Sembilan tahun lalu pada 2006, bekas perdana menteri Tun Abdullah
Ahmad Badawi juga pernah melakukan perkara sama menggunakan TV3 dan
disiarkan ke seluruh negara untuk menjawab kritikan Dr Mahathir. Tidak beberapa lama selepas wawancara Abdullah bersama TV3, Barisan
Nasional (BN) buat pertama kalinya hilang majoriti tradisi dua pertiga
di Dewan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.
Setahun selepas itu, Abdullah yang mesra dengan panggilan Pak Lah
akhirnya meninggalkan Putrajaya bagi memberikan laluan kepada Najib
untuk menjadi perdana menteri. Dr Mahathir tak akan berhenti selagi Najib tak berundur.
Berita tentang kematian Tan Sri Jamaluddin Jarjis dan Ketua
Setiausaha Sulit Perdana Menteri Datuk Azlin Alias menenggelamkan berita
kehadiran Dr Mahathir ke majlis pengebumian bapa kepada Datuk Seri
Anwar Ibrahim. Walaupun Dr Mahathir dikatakan berkawan baik dengan bapa Anwar Datuk
Ibrahim Abd Rahman, kehadirannya ke majlis pengebumian tersebut
memberikan makna besar dan isyaratnya sudah tersebar.
Dalam politik, tidak ada yang tidak sengaja. Semuanya mempunyai
perkiraan dan penyusunan. Selain Dr Mahathir, isterinya Tun Dr Siti
Hasmah Mohamad Ali turut hadir untuk menyatakan takziah kepada Datuk
Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan keluarga. Dr Mahathir memberikan isyarat beliau sanggup bekerjasama dengan
sesiapa sahaja termasuk Anwar untuk menjatuhkan Najib. Persoalan yang
ditanya ramai pihak ialah apakah mekanisme untuk menjatuhkan Najib?
Dalam Umno, Najib disokong kuat majoriti ketua bahagian di seluruh
negara sehingga tidak memungkinkan beliau dicabar dalam pemilihan Umno
akan datang. Tambahan pula, pemilihan Umno boleh ditangguhkan seperti dilakukan sebelum ini dengan alasan untuk menghadapi PRU ke-14.
Menteri-menteri Kabinet majoritinya sudah menyatakan ikrar taat setia
kepada Najib. Begitu juga dengan parti komponen BN, kesemuanya sudah
menyatakan mereka bersama Najib.
Usul undi tidak percaya terhadap Najib di Parlimen? Ramai meragui
kaedah ini kerana untuk usul tersebut diluluskan Yang Dipertua Dewan
Rakyat sudah dilihat sukar. Sekalipun Tan Sri Pandikar Amin Mulia membenarkan usul undi tidak
percaya terhadap Najib dilakukan, apakah Dr Mahathir mempunyai cukup
angka untuk menewaskannya?
Melainkan Dr Mahathir berfikir di luar kotak menggunakan kaedah-kaedah lain seperti pilihan jalan raya untuk menjatuhkan Najib. Akan tetapi pada usia hampir 90 tahun, masih mampukah Dr Mahathir untuk melakukan perkara radikal sebegini?
Sanggupkah Dr Mahathir muncul dalam demonstrasi untuk menuntut Najib letak jawatan? –TMI
.