KLANG, 31 MEI: Ahli Parlimen Klang Charles Santiago menggesa seluruh
kontinjen polis di Perlis digantung tugas sehingga isu pemerdagangan
manusia di Wang Kelian dan Padang Besar selesai dibuat. Dalam kenyataannya hari ini Charles berkata, tidak masuk akal apabila
polis menyatakan hanya dua anggota yang terlibat dalam jaringan
penyeludupan manusia tersebut.
“Ini tak masuk akal. Ribuan ditahan dalam keadaan yang teruk. Ada yang diseksa dan dirogol. Ramai yang dibunuh.
“Penduduk tempatan sendiri turut melapor dan menyerahkan mereka kepada pihak polis,” kata Charles.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini berkata
bahawa ‘semua orang tahu tentang aktiviti penyeludupan’ di Wang Kelian
dan Padang Besar. Namun, beliau kemudiannya mengubah nada dengan menyatakan hanya dua
anggota polis Malaysia terlibat dalam rangkaian penyeludupan manusia.
“Mereka (polis) memberi akses kepada pemberita ke tapak kem. Namun
apabila ditanya soalan-soalan sukar, tiada jawapan diberikan,” ujar
Charles. Tenaganita, sebuah NGO yang mengendalikan isu pelarian dan migran
sebelum telah melaporkan kepada polis semenjak 2008 mengenai aktiviti
pemerdagangan manusia di kawasan tersebut.
“Sudah tentu orang akan berfikir bahawa polis membuat susulan dengan
siasatan, namun tidak ada laporan mengenai perkara ini,” kata Charles.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dalam
jawapannya kepada Ahli Parlimen berkata, perkara tersebut di luar
pengetahuan polis, lebih-lebih lagi kem tersebut berada di lokasi yang
sukar. Dilihat cuba berundur dari melibatkan polis dan pihak berkuasa lain,
menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, pihaknya hanya memainkan
peranan kecil.
Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim pula memalukan
dirinya sendiri apabila menyatakan bahawa anggota polis yang ditangkap
itu didorong sogokan wang, sehingga tidak menyedari pembunuhan dan
penyiksaan di kem tersebut.
“Rakyat Malaysia tidak bodoh. Pihak polis mesti menyatakan kebenaran.
Kami mempunyai hak untuk mengetahui apa yang berlaku, hanya akibat
ketamakan dan wang.
“Sehingga siasatan selesai, seluruh pasukan polis di Perlis patut ‘digantung’', ujar Charles.
.