KOTA BHARU, 17 Mei: Arahan seorang pemimpin wanita Umno Kelantan supaya setiap bahagian menghantar 500 peserta menyertai demontrasi membantah Ladang Rakyat semalam ternyata gagal.
Kelihatan hanya beberapa wanita dan Puteri sahaja yang hadir biar pun arahan mahu setiap bahagian menghantar 500 wanita dengan berpakaian merah.
Ramai berhujah agenda permulaan Pemuda dan sayap lain Umno menggugat kerajaan negeri tersasar jauh apabila tidak sampai 500 peserta menyertai demontrasi di hadapan Kota Darulnaim semalam.
Ketua Angkatan Muda Keadilan Kelantan, Mohammad Azihan Che Seman berkata, Umno sengaja mencipta persepsi buruk terhadap kerajaan negeri bagi menafikan manfaat yang diperolehi rakyat miskin melalui dividen bulanan sebanyak RM200.
“Sepatutnya usaha membantu rakyat miskin turut disokong Umno dan bukannya berdemontrasi seperti budak-budak. Ini jelas menggambarkan Pemuda Umno tidak mengikuti perkembangan semasa.
“Tindakan Pemuda itu boleh menguris perasaan lebih 4,500 penerima dividen bulanan Ladang Rakyat kerana cuba menghalang usaha murni kerajaan negeri membantu penduduk,” katanya di sini.
Oleh itu AMK Kelantan menyokong penuh sebarang tindakan undang-undang terhadap media dan pihak yang sengaja menuduh kerajaan PAS merampas tanah rakyat.
Semalam hanya kira-kira 200 pemuda dan wanita Umno berdemontrasi di hadapan Kota Darulnaim bagi membantah Ladang Rakyat kononnya merampas tanah rakyat.
Bagaimanapun media harian seperti sepakat menggambarkan 1,000 hadir pada demontrasi tersebut. Ia dilakukan bagi menyelamatkan maruah Pemuda dan Wanita Umno Kelantan.
Demontrasi tersebut diketuai Ketua Pemuda Umno, Anuar Safian yang turut disertai pemuda-pemuda Umno peringkat bahagian.
Mereka berselindung di sebalik NGO yang dikenali sebagai Orang Muda Berpadu Anti Korupsi Kelantan (Ombak).
Harakah
.
Post a Comment