RSS

Isu Barang KRIM Tak Bermutu: "Mereka hanya nampak kaum sahaja…"



KUALA LUMPUR, 17 Nov –  Apabila para pemimpin Pakatan Rakyat mendedahkan tentang barang bermutu rendah, lebih mahal dan sesetengahnya membahayakan kesihatan di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), ada pemimpin UMNO telah menuduh Pakatan sebagai rasis.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, apa yang didedahkan Pakatan sangat berkait rapat dengan kepentingan rakyat Malaysia, bukan bermatlamat politik atau kantung sendiri seperti kebanyakan pemimpin UMNO-BN.

Beliau menjelaskan bahawa usaha Pakatan telah berjaya menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia, khususnya yang berpendapatan rendah, daripada ditipu kerana susu bayi 1Malaysia yang bahaya kepada kesihatan telah pun ditarik balik dari KR1M semalam.

“Jelas Pakatanlah pejuang sebenar yang menjaga kepentingan Melayu miskin dan keseluruhan rakyat Malaysia dengan mendedahkan penipuan kualiti yang tidak mengikut standard Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985,” katanya.

Sebaliknya, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Ismail Sabri cuba menutup skandal itu dengan menuduh para pemimpin Pakatan sebagai rasis.

Melalui laman Facebooknya di http://www.facebook.com/profile.php?id=1631334090 dan Twitter pada 15 November, Ismail telah menuduh Pua, DAP dan Pakatan Rakyat (dalam bahasa tulisannya yang asal):

tony phua DAP ni masih tk habis2 menfitnah KRIM. kini dgn tuduhan tdk berkualiti. semlm isu ini tlh dijwb oleh Mydin & pembekal IKS. jelas agenda DAP yg ingin menguburkan KRIM yg rata2 supplier nya terdiri dari IKS bumiputra. Rata2 pembeli nya terdiri dari gol berpendapatan rendah bumiputra. Mydin pun bumiputra. malangnya ada bumiputra spt nurul izah & zulkifli ‘menyalak’ bagi pihak DAP..

Menurut Pua, Ismail telah lari dari tanggungjawab menjaga rakyat apabila mempertahankan produk-produk KR1M tanpa sebarang jaminan, dan sanggup menuduh beliau (Pua) bersama Naib Presiden PKR Nurul Izzah dan Ahli Parlimen PAS Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad sebagai rasis.

“Kenyataan perkauman tebal oleh Menteri langsung tidak berasas malah bertentangan dengan apa yang DAP dan Pakatan bangkitkan iaitu membantu kepentingan pengguna Melayu dan juga rakyat Malaysia lain yang miskin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, menteri-menteri UMNO-BN langsung mengetepikan kebajikan rakyat apabila Ismail akan memberi subsidi kepada KR1M dengan nilai RM40 juta tahun depan.

“Kemudian produk itu akan dijual kepada rakyat Malaysia pula tanpa memastikan pengawalan kualiti yang ketat terlebih dahulu,” katanya.

DAP dan Pakatan telah mendedahkan kepincangan kualiti dan perbandingan harga produk KR1M itu dengan bukti kukuh termasuk ujian makmal terhadap beberapa produk kedai itu. – Roketkini.com



.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors