RSS

Rancangan16 September Hampir Terjadi



Beberapa pemimpin Pakatan Rakyat dikatakan bersedia untuk menerima ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, sebagai perdana menteri, dedah bekas timbalan presiden PKR, Syed Husin Ali, dalam buku terbarunya, Memoir Perjuangan Politik.

Katanya, perkara itu dipersetujui dengan syarat bahawa Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li dapat meyakinkan sekurang-kurangnya 15 hingga 20 ahli parlimen BN untuk berpaling tadah dalam cubaan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Sept, 2008, untuk menggulingkan kerajaan BN.


"Pada masa sama diberitakan bahawa Tengku Razaleigh mungkin turut serta bersama empat orang pengikutnya. Akan tetapi khabarnya beliau mengenakan syarat agar dicalonkan sebagai Perdana Menteri.


"Beberapa orang pemimpin Pakatan secara tidak rasmi dalam perbualan mereka menyatakan syarat itu boleh diterima sekiranya Tengku itu boleh membawa 15-20 orang ahli Parlimen lain bersamanya,"
tulisnya dalam bukunya yang dilancarkan malam semalam.


Dalam buku itu, Syed Husin berkata, perkara itu adalah penting, kerana sebahagian besar ahli parlimen yang bersetuju meninggalkan BN itu adalah bukan Melayu atau bumiputera bukan Islam. Pakatan, katanya mahu memastikan bahawa sokongan orang Melayu Islam, tidak terhakis.


Sambil mempertahankan bahawa usaha 16 September itu adalah benar, menurut pemimpin veteran itu lagi, Umno selepas mengetahui rancangan berkenaan, bergegas membawa kebanyakan ahli parlimen BN ke Taiwan, dan ada juga ke Macau dan New York, bagi memastikan rancangan itu tidak menjadi kenyataan.


"(BN) telah mengumumkan peruntukan kira-kira RM3 bilion untuk projek-projek pembangunan di Sabah dan Sarawak.


"Ini pasti memberi peluang kontrak kepada syarikat-syarikat dan kontrak kroni yang ada kaitan dengan ahli-ahli parlimen yang juga merupakan pemimpin politik Umno-BN di kedua-dua negeri,"
tulisnya.


Majlis perasmian buku ini di Shah Alam dihadiri oleh kira-kira 500 orang.


Buku memoir itu merupakan kenangan hidup Syed Husin tentang perjuangan politiknya untuk menegak keadilan, kebajikan dan kebenaran bagi rakyat.


Ia juga menceritakan mengenai penyertaan, kegiatan, pengalaman dan pandangan beliau terutama berhubung beberapa peristiwa politik yang melibatkan rakyat.


Pendidikan, kegiatan akademik serta luar akademik diceritakan kerana sedikit sebanyak mempengaruhi sikap hidup Syed Husin, terutama terhadap bidang politik yang lebih setengah abad diceburinya.


Turut hadir semasa majlis perlancaran buku itu adalah ketua pembangkang PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim; Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said dan juga beberapa pemimpin Pakatan.




There was an error in this gadget
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Posting Terkini

Total Pageviews

Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors