KUALA LUMPUR 19 Nov: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menggesa Ketua
Pemuda Umno menyahut cabaran debat oleh Rafizi Ramli berkenaan isu
skandal National Feedlot Corporation (NFC) dan tidak berdolak-dalik.
“Tidak ada alasan untuk Khairy Jamaluddin menolak jemputan ini
memandangkan beliau sendiri telah menyatakan kesediaan untuk berdebat
dengan sesiapa saja,” kata Timbalan Ketua Penerangan AMK, Najwan Halimi.
Rafizi semalam mencadangkan debat tersebut dibuat pada 12 Disember
ini dan telah menghantar surat jemputan kepada Khairy dengan menyatakan
cadangan tarikh berkenaan.
Najwan berkata, tempoh notis satu bulan seperti dinyatakan oleh
Pengarah Strategi KEADILAN itu sewajarnya dapat digunakan Khairy dalam
mengatur jadual aktiviti beliau.
“Kami (AMK) berharap debat ini akan dapat diadakan dalam suasana
penuh hemah dan secara intelektual berdasarkan hujah dan fakta-fakta
kukuh,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut
Najwan, AMK menyambut baik inisiatif Rafizi dalam mengemukakan jemputan
berdebat ekoran dakwaan pendedahan penyelewengan dana awam membabitkan
keluarga Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat
Jalil.
“Penjelasan Pengerusi Eksekutif NFC, Datuk Seri Mohammad Salleh
Ismail berkaitan isu ini adalah tidak meyakinkan dan sebaliknya
menimbulkan lebih banyak persoalan akan kemungkinan wujudnya elemen
penyelewengan dalam pengurusan kewangan NFC”.
“Justeru, pada masa sama, AMK juga menggesa Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) supaya mengambil serius berhubung dakwaan
penyelewengan projek NFC ini serta menjalankan siasatan menyeluruh
memandangkan ianya melibatkan dana awam.
“Bahkan laporan berkaitan isu ini juga telah pun dibuat di pejabat SPRM oleh sebuah NGO pada minggu lalu,” katanya. /KD
.