KUALA LUMPUR - "Laporan polis yang saya buat baru-baru ini untuk
memulihkan imej dan maruah saya dan ahli keluarga yang terjejas," kata
bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Beliau yang
difitnah berkahwin dengan seorang penyanyi, Syella Kamaruddin
pertengahan bulan lalu meminta penulis-penulis blog yang memfitnahnya
agar menghentikan perbuatan mereka.
Musa membuat laporan di Balai
Polis Petaling Jaya pada 8 Disember lalu setelah mendawa dia difitnah
beberapa penulis blog kononnya berkahwin dengan penyanyi tersebut.
"Ini semua (fitnah yang mengaitkan dirinya) adalah cerita palsu. Ia turut memberi kesan dan menjatuhkan maruah keluarga saya.
"Saya
harap pihak bertanggungjawab akan menyiasat penyebaran blog berunsur
fitnah ini termasuk beberapa lagi blog yang saya tidak namakan,"
katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Musa, 60,
baru-baru ini menafikan tohmahan yang dilemparkan terhadapnya dalam
beberapa blog bahawa beliau mendirikan rumahtangga dengan Syella atau
Nurshid'la Ahmad Kamaruddin, 26.
Menurutnya, apa yang disiarkan
dalam beberapa laman blog termasuk dakwaan beliau membelanjakan
sejumlah RM15 juta untuk majlis perkahwinan itu sama sekali tidak
mempunyai kaitan dengan dirinya.
Beberapa keping gambar perkahwinan Syella dengan pasangannya tersiar dalam beberapa laman blog.
Antara
maklumat yang disiarkan dalam blog itu adalah belanja majlis
perkahwinan tersebut dianggarkan sebanyak RM15 juta, selain Syella
menerima hadiah banglo bernilai RM5 juta, kereta Audi R8 berharga
RM800,000, wang hantaran RM111,111, mas kahwin RM1,000, telefon bimbit,
set mandian, alat solek, al-Quran, sejadah, telekung dan tasbih.
Berikutan tersiarnya gambar majlis persandingan itu, beberapa komen antara lain turut menghina bekas Ketua Polis Negara itu.
Musa dalam pada itu berkata, beliau turut menamakan tiga laman blog dalam laporan polis yang dibuatnya.
Tiga laman blog itu adalah free malays.blogspot.com, pulakdah.blogspot.com dan abushahid.wordpress.com.
(Ikhsan)
.