RSS

Kisah Gadis Yahudi dan Negara Israel



Di tengah-tengah bandaraya New York, pegangan dan amalan kelompok Yahudi Hasidic rupanya masih berbaki. Agak hebat untuk kekal sedemikian dalam suasana bandaraya yang sebesar itu, jauh dari suasana perkampongan yang didiami oleh kelompok Amish, atau suasana yang agak terpencil bagi kelompok pengamal polygamy Mormon.

Saya rasa kerdil diri apabila membaca kisah ini, bagaimana mereka walaupun bukan berada di atas kebenaran aqidah dan syari'ah, tetapi begitu teguh berpegang kepada fahaman dan amalan agama mereka; sedangkan kita yang dianugerahi Allah dengan sebesar-besar nikmat, yakni nikmat iman dan Islam tetapi begitu lemah untuk berdiri teguh berpegang kepada anjuran-anjuran agama kita, sedangkan kita berada dalam masyarakat yang majoritinya beragama Islam, bukannya di New York!

Saya juga teringat satu temubual bersama penulis tersohor Anthony Burgess dalam tahun awal 80'an yang menyebut tentang sejarah awal perkembangan agama-agama Samawi: yahudi, kristian dan Islam. Yahudi adalah agama bagi satu bangsa, di zaman Saiyyidina Musa alaihi salam , ianya bermula dengan ummah yang tertindas, yang keluar dari wilayah penindasan dan kemudiannya merayau di gurun Sinai untuk sekelian lama. Suasana awalnya bukan suasana urban yang multi-cultural. Begitu juga dengan kristian, Saiyyidina Isa 'alaihi salam adalah seorang rasul yang zuhud, bahkan tiada mempunyai rumah kediaman yang tetap dan mengembara di wilayah yang mempunyai ruang luas terbuka. Ianya juga tidak berlatar belakangkan urban setting. 

Rasulullah Sollallahu 'alaihi salam adalah penduduk Makkah, sebuah bandar yang didatangi oleh masyarakat dekat dan jauh untuk menunaikan ibadat di sekeliling Kaabah, serta penduduk Makkah sebahagiannya pedagang yang berkafilah ke Yaman , Syam serta lainnya. Kemudian baginda berhijrah ke Madinah, yang juga bandar yang didiami oleh bukan sahaja orang arab bahkan orang Yahudi serta tidak pula terpisah daripada kelompok kristian di Najran . Islam bermula sebagai agama yang berkembang di dlam suasana urban-setting yang memiliki kebelbagaian ragam. Bagi Anthony Burgess , sejarah awal ini menyebabkan Islam mempunyai kelebihan berbanding dengan agama yang lain untuk berkembang dan menyesuai di benua Eropah yang telah menjadi penempatan yang sifatnya urban.

Begitu juga yang terbayang dalam tulisan Karen Armstrong dalam bukunya The Holy War, dia menyatakan dalam ketiga agama ini, hanyalah penganjur agama Islam yang terlibat secara langsung dengan peperangan, menyebabkan Islam mempunyai feqah tentang perang, apa yang boleh dilakukan dan apa yang dilarang. Dalam ajaran kristian dan yahudi mereka tidak mempunyai bab khusus tentang hukum dan adab peperangan, dalam kristian semangat asalnya ialah "jika lawanmu menampar pipi kananmu, berilah pula pipi kirimu", sementara dalam ajaran Yahudi "ianya lebih baik membunuh diri dalam berpegang kepada agama , sebagai suatu bentuk penyesalan dan taubat, daripada tewas di tangan lawan".

Menarik juga untuk melihat pengamatan Arnold Toynbee dalam bukunya Civilization On Trial yang menbandingkan pergerakan sebahagian ummah ini yang muncul dan bergerak dengan setting yang terpisah dari arus utama masyarakat dan gerakan yang muncul di tengah-tengah arus utama masyarakat. Beliau memberi contoh Gerakan Sanusiyyah dan Gerakan Wahabi sebagai mewakili gerakan yang terpisah dan terasing, sementara gerakan modernist Muhammad Ali Pasha dan gerakan secularist Kamal Atarturk sebagai gerakan yang muncull di tengah-tengah bandar dan begitu accomodative dengan nilai-nilai luar, bahkan sentiasa mahu menjejaki dari belakang kemajuan kebendaan negara-negara maju.

Agaknya ada manafaatnya kita sentuh isu yahudi serta Negara Israel. Tidak semua golongan pengikut Yahudi menyokong penubuhan Israel, Israel ditubuhkan oleh golongan Nasionalis Zionist yang berfahaman secular, ianya bukan untuk menegakkan negara agama. Pengikut yahudi dituntut berdoa dan menaruh harap yang tinggi agar Messiah segera diturunkan Tuhan, dia lah yang akan memimpin the lost tribes of jews untuk kembali ke Tanah Suci, kemunculan Messaih yang ditunggu-tunggu oleh mereka itu dipercayai mereka bergantung kepada amalan dan taubat anak cucu Israel, mereka telah terbuang ke sana-sini selama ini disebabkan oleh pendurhakaan kepada Tuhan.

Bagaimana sebahagian orang kristian memang mengharapkan agar terbentuk negara Israel, kerana mereka percaya yang Jesus akan datang 'the second Coming' itu berlaku di Temple of Solomon (Haikal as-Sulayman); mereka mengharapkan kumpulan Zionist yang berkuasa di Tanah Suci itu akan membina semula Temple Of Solomon, sebagaimana persediaan tempat turunnya Jesus nanti. Oleh itu tiada hairanlah kelompok Kristian beriya-iya menyokong penubuhan Negara Israel, selain daripada untuk mengkucar-kacirkan politik rantau itu. Ketidak-stabilan politik dan keselamatan rantau itu adalah aset bagi kepentingan mereka.

Bagi kita , ummah Islam, kita melihat kebenaran perkataan Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam, semenjak zaman sebelum Nabi kita dilahirkan lagi, rantau itu telah dikuasai oleh golongan Kristian, atau Rum Timur. Orang Yahudi tiada mempunyai tempat di Palestine sehingga tentera Islam menguasai wilayah tersebut, kemudiannya orang yahudi sekali lagi terusir dari wilayah tersebut apabila tentera crusaders menguasai wilayah tersebut. Mereka mendatangi wilayah ini secara berduyun-duyun semenjak Perang Dunia Kedua, kerana peristiwa yang penuh misteri, Holocaust dan kemudiannya penubuhan Negara Israel. Rasulullah menyebut yang tentera ummah ini akan berperang di akhir zaman dengan tentera yahudi di wilayah tersebut, sedangkan ketika baginda menuturkan perkara ini kaum Yahudi hampir tiada yang berbaki di wilayah tersebut, maklumlah penganut Kristian memang sangat memusuhi orang Yahudi kerana bagi mereka orang Yahudilah yang menyalib Jesus secara zalim.

Kewuiudan negara Israel adalah suatu realiti politik semasa, menidakkan kewujudannya adalah menidakkan suatu realiti. Saya masih teringat pada akhir tahun 80'an, seorang tua yang saya hormati, Ustaz Hasan Doah, seorang penulis dan veteran sukarelawan Ikhwan al-Muslimin yang berperang melawan tentera Yahudi , pasukannya juga pernah disertai oleh Yasser Arafat yang ketika itu masih muda remaja; memberitahu saya yang Yasser Arafat baru asahaja datang menziarahi beliau dan menjelaskan tentang penubuhan Pihak Berkuasa Palestine bagi mentadbir Gaza dan Tebing Barat. 

Walaupun commitment dan fahaman kedua tokoh ini ketika itu sudah banyak berbeza, tetapi Pak Cik Hassan Doah bersetuju dan menyokong gagasan tersebut. Bagi beliau ini bukan bermakna rakyat Palestine mengalah dan berpada dengan dengan tawaran tersebut atau seakan mengiktiraf keabsahan Kerajaan Israel; tetapi ianya adalah sautu langkah permulaan bagi langkah-langkah seterusnya. Ambillah dahulu apa yang dapat sementara bersedia untuk yang selebihnya. bagi beliau ianya kurang cerdik sekiranya kita hanya menghadkan kepada dua pilihan; yakni semada meniadakan langsung entiti Israel dari peta Asia Barat atau biarkan dan abaikan sahaja segala usaha selain pilihan pertama.

Pak Cik yang baik hati ini telahpun meninggal dunia, beliau pernah telah dipenjara selama 9 tahun dan termasuk hukuman kerja berat kerana penglibatan beliau di dalam Ikhwan al-Muslimin, beliau ditangkap ketika beliau baharu sahaja mendirikan rumah-tangga, Sebelum itu beliau adalah pemimpin pelajar universiti yang sangat fasih berceramah, ketika itu beliau rapat dengan Ustaz Said Ramadan, menantunya Imam Hasan al-Banna dan juga Ustaz kamal Sharif, yang kemudiannya menjadi menteri di Jordan. Saya kerap menziarahi beliau ketika beliau di hari-hari tuanya menjadi pengurus Hotel Aman di Dokki, Kaherah. Semoga Allah merahmati Pak Cik yang baik hati ini. 


.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors