Tun Dr Mahathir Kepada Perdana Menteri Israel Yitzhak Rabin pada 1993
PERDANA MENTERI MALAYSIA 21 Disember 1993
Tuan Yang Terutama
Tuan Yitzhak Rabin
Perdana Menteri Israel
JERUSALEM
Saya ingin mengucapkan terima kasih atas
surat tuan bertarikh 17 Oktober memaklumkan saya mengenai Perjanjian
Prinsip dan Pengiktirafan Bersama antara Israel dan PLO.
Kerajaan saya menyokong perkembangan
positif ini dan menganggapnya sebagai satu langkah awal ke arah
merealisasikan satu penyelesaian yang komprehensif kepada masalah Timur
Tengah. Sebagai tanda sokongan Malaysia terhadap perkembangan ini,
negara saya telah diwakili pada Persidangan Penderma bagi menyokong
proses damai Timur Tengah yang diadakan di Washington dan seterusnya
berjanji untuk memberi sumbangan kewangan yang sederhana kepada rakyat
Palestin bagi membantu dalam tugas-tugas baru mereka. Kerajaan saya juga
menawarkan bantuan teknikal kepada rakyat Palestin di bawah Program
Kerjasama Teknikal Malaysia.
Demi prinsip umum, Malaysia bersedia
untuk membina hubungan dengan Israel pada masa yang sesuai. Sementara
itu, saya ingin melihat kemajuan ketara dalam pelaksanaan perjanjian
damai.
Masalah Timur Tengah terutamanya isu Palestin telah menjadi punca ketidakstabilan di rantau itu dan saya berharap perjanjian baru-baru ini antara Israel dan PLO akan menyumbang kepada keamanan yang berpanjangan di kawasan itu.
Saya berharap kepada hubungan yang biasa dengan Israel (ayat yang terakhir ini bertulis tangan)
DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tun Dr Mahathir Mohamad Kepada Benjamin Netanyahu, Perdana Menteri Israel pada 1997
PERDANA MENTERI MALAYSIA 14 Mac 1997
Tuan Yang Terutama
Tuan Benjamin Netanyahu Perdana
Menteri Israel
JERUSALEM
Surat tuan bertarikh 23 Januari hanya sampai kepada saya
semalam. Saya amat menghargai susah payah tuan untuk memaklumkan kepada
saya situasi di Palestin dan rantau berkenaan. Malangnya sebahagian
besar daripada perkara yang tuan nyatakan itu telahpun berubah dengan
begitu pantas.
Malaysia percaya kepada keamanan dan
penyelesaian masalah antara negara berjiran menerusi rundingan. Sebagai
jalan keluar terakhir, kami beralih kepada pihak ketiga. Dalam
pertikaian berhubung wilayah antara Malaysia dan Singapura dan Malaysia
dan Indonesia kami bersetuju menyerahkan kepada Mahkamah Dunia untuk
memutuskannya. Pertikaian antara Malaysia dan Thailand berhubung wilayah
perairan diselesaikan dengan persetujuan untuk berkongsi sumber bukan
marin dengan saksama.
Di dalam negara, ketidaksamaan dalam
pengagihan kekayaan antara penduduk pribumi dan kalangan yang asalnya
pendatang diselesaikan menerusi tindakan afirmatif di mana golongan
miskin akan memperoleh perkongsian yang lebih besar daripada kek ekonomi
yang semakin berkembang tetapi tidak ada tindakan merampas dan
mengagihkan semula apa yang telahpun menjadi kepunyaan keturunan
kalangan pendatang. Setiap orang menikmati pembahagian yang agak adil
sekarang dan setiap orang agak berpuas hati. Hubungan antara kaum yang
berbeza di Malaysia adalah baik dan tidak porak-peranda.
Perkara penting yang ingin saya tekankan
ialah untuk tidak mengambil apa yang telahpun menjadi kepunyaan orang
lain sungguhpun daripada segi sejarah, ia mungkin kepunyaan tuan.
Akhir-akhir ini Israel telah merobohkan penempatan Arab dalam usaha
mendirikan rumah bagi rakyat Israel. Seluruh dunia, termasuk sekutu
tuan, Amerika Syarikat, mengutuk tindakan ini. Namun Israel tetap
meneruskan juga.
Tuan mengutuk Syria kerana membuat
ancaman. Bagaimanapun ancaman mereka adalah respons kepada tindakan tuan
sendiri. Jika tuan secara paksa merampas tanah dan harta benda
kepunyaan penduduk Palestin, satu-satunya respons sekiranya mereka tidak
bertindak secara ganas terhadap tuan, adalah dengan mengancam untuk
bertindak menentang tuan. Jika mereka tidak boleh bertinda balas dan
mereka tidak boleh menyuarakan tindak balas yang dihasratkan itu, maka
mereka terpaksa tunduk kepada semua tindakan tuan tidak kira bagaimana
salah sekalipun. Apa yang tuan lakukan sekarang bertentangan dengan
semangat dan surat proses perdamaian yang dipersetujui oleh pendahulu
tuan. Bagaimanakah kami boleh mempercayai Israel jika sesuatu perubahan
dalam kerajaan menyangkal jaminan yang diberi dengan rasminya oleh
sebuah Kerajaan Israel. Tolong pertimbangkan semula keputusan tuan untuk
membina penempatan baru Yahudi di tanah Arab.
Belia-belia Israel ada di sini. Hasrat
kami ialah untuk menunjukkan kepada mereka bahawa umat Islam adalah
manusia rasional biasa yang mahu hidup dalam keamanan dan kebebasan.
Kami berharap mereka akan mempunyai tanggapan baru terhadap umat Islam
dan Islam. Akan berlaku penyimpangan dalam kalangan umat Islam tetapi
penyimpangan turut berlaku dalam kalangan Yahudi dan Kristian serta
penganut setiap agama. Tiada agama yang seharusnya dihakimi berdasarkan
penyimpangan ini. Kami berharap kalangan belia ini akan memahami umat
Islam dengan lebih baik dan akan mahu berbaik-baik dengan mereka. Untuk
mengecap keamanan tuan perlu melakukan pengorbanan. Penduduk Palestin
tidak lagi mendesak penyingkiran Israel. Mereka malah bersedia untuk
berkongsi Jerusalem dengan tuan. Mereka telah melakukan pengorbanan.
Kita harus ingat apabila Yahudi
diperlakukan dengan kejam di Eropah, mereka seringkali menemui
perlindungan dalam kalangan umat Islam di negara-negara Islam. Kami
tidak menganggap rakyat Israel sebagai seteru abadi. Namun kami tidak
boleh menahan rasa simpati terhadap penduduk Palestin kerana tanah air
mereka dirampas daripada mereka sekarang. Ia mungkin menjadi kepunyaan
Yahudi tiga ribu tahun yang lalu. Banyak tanah tradisional Melayu yang
telah menjadi sebahagian daripada Thailand. Tetapi kami tidak menuntut
Selatan Thailand untuk menjadi sebahagian daripada Malaysia. Jika kita
pergi terlalu jauh ke masa lampau, kita tidak boleh hidup bersama
jiran-jiran kita.
Kami bersedia untuk mengadakan kerjasama
ekonomi dan teknologi dengan Israel tetapi kami masih belum boleh
berbuat demikian kerana tuan belum memenuhi komitmen yang dibuat oleh
Kerajaan Israel yang sah.
Kami ingin memikirkan bahawa sebaik sahaja
kami mewujudkan hubungan dengan tuan, ia akan hubungan yang menjadi
tetap.
DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tun Dr Mahathir Mohamad Kepada Perdana Menteri Israel Ehud Barak Yang Baru DiPilih Pada 1999
PERDANA MENTERI MALAYSIA 8 Jun 1999
Tuan Yang Terutama
Encik Ehud Barak
Perdana Menteri Israel
TEL AVIV
Tuan Yang Terutama,
Saya ingin menyampaikan ucapan tahniah
atas kemenangan tuan dalam pilihan raya baru-baru ini. Dengan mandat
yang cukup meyakinkan, saya berharap tuan dan rakan gabungan tuan akan
dapat memimpin masa depan rakyat Israel di ambang Abad baru.
Saya ingin mengambil peluang ini untuk
mengulangi pendirian Malaysia yang sentiasa memperjuangkan keamanan dan
penyelesaian masalah antara jiran menerusi rundingan. Oleh itu menjadi
harapan kami untuk melihat pelaksanaan bersama perjanjian yang
ditandatangani antara PLO dan Israel. Kami juga percaya jika proses
perdamaian hendak diselamatkan, langkah-langkah berkesan mesti diambil
untuk memenuhi komitmen.
Sebagai rakan penting dalam proses damai
adalah mustahak bagi Israel lebih bersedia bertolak ansor. Rakyat
Palestin telah membuat pengorbanan besar. Mereka tidak lagi menuntut
penghapusan negara Israel. Mereka malah sedia berkongsi Baitulmaqdis
dengan anda. Oleh itu kini masanya bagi Israel memberi respons positif
demi mempertahankan harapan rakyat di Palestin dan Israel. Komitmen
mulia yang dibuat oleh Kerajaan sebelumnyua mesti dihormati. Jika tidak
saya bimbang, akan wujud suasana konflik dan ketidakstabilan serantau
yang berkekalan menjangkau ke Abad akan datang. Ini adalah prospek yang
mesti dielakkan.
Pokok masalah ialah bahawa tiada pihak
yang harus kembali kepada cara lama merundingkan apa yang dimiliki pihak
lain, di satu nada dan menghasut kebencian dan keganasan, pada nada
lain. Malaysia tidak dapat membiarkan keganasan oleh mana-mana pihak,
sama ada rakan atau musuh. Mana-mana negara yang merampas tanah dan
harta orang lain, atau menghapus tempat tinggal orang lain untuk
mendirikan penempatan mereka sendiri tidak boleh dianggap bersikap jujur
mahukan perdamaian.
Malaysia yakin penuh bahawa keselamatan
semua negara di Asia Barat dapat dijamin dengan kewujudan perdamaian
yang adil, berkekalan, dan komprehensif di rantau berkenaan. Ini
mestilah berdasarkan pada prinsip “pertukaran tanah untuk perdamaian”
dan penubuhan sebuah negara Palestin merdeka dengan Baitulmaqdis Timur
sebagai ibu negaranya.
Dunia berharap Israel di bawah
kepimpinan tuan, mengetengahkan proses damai dengan iltizam yang tulen.
Saya sesungguhnya berharap pencapaian penyelesaian komprehensif di
rantau tersebut akan membolehkan Malaysia melihat dengan realistik
langkah positif ke arah penubuhan hubungan biasa dengan Israel.
Yang Ikhlas
Dr Mahathir Bin Mohamad