RSS

Bersih: Bukan Amaran Tapi Satu Janji - Hishammudin Rais



Seperti yang dijanjikan IBU segala demo berjaya dijalankan. Seperti yang dijanjikan 250,000 warga turun ke jalan raya. Seperti yang dijanjikan politik baru dimunculkan. Seperti yang telah dijanjikan anak semua bangsa melintasi garis takut. Seperti yang dijanjikan politik ke jalan raya sebelum ke pilihan raya telah menjadi pedoman semua.

Hari-hari berikut – seminggu, dua minggu mungkin satu bulan – heboh Duduk Bantah – akan berterusan. Media United Malays National Organisation akan terus memperlekeh Bersih. Media gerombolan ini akan menetaskan pelbagai kisah penglipur lara, labon dan sastera. Laporan awal dari Utusan mensasterakan bagaimana para demonstran dibayar untuk turun ke jalan raya. Ada demonstran yang diupah. Ada yang dirasuah.

Ini sebenarnya teknik media lama yang telah berkarat. Akhbar gerombolan Ketuanan Melayu ini tidak sedar bahawa media baru, lenggok dan bunyinya telah berubah. Tetapi untuk menyenangkan kerja saya , dengan penuh khusyuk lagi tawar duduk saya menerima hakikat bahawa labon-labon media Utusan Malaysia ini adalah tepat – sahih lagi mensahihkan. Maka akan timbul pula kisah polis kena pukul. Kisah polis kena lanyak. Kisah polis kena belangkong. Kisah polis menyembah minta ampun kerana ditibai oleh penunjuk perasaan. Kisah polis lari terkencing-kecing dikejar oleh penunjuk perasaan. Penunjuk perasaan amat ganas. Penunjuk perasan amat liar. Penunjuk perasaan buat huru hara. Penunjuk perasaan baling batu dan baling botol. Kisah polis cedera masuk hospital.

Saya sarankan marilah kita terima hakikat bahawa sastera labon dari media United Malay National Organisation ini adalah sahih lagi mensahihkan. Benar lagi membenarkan. Betul lagi membetulkan. Maka akan timbul pula kisah bahawa Ambiga – Pengerusi Bersama Bersih ini sebenarnya bukan rakyat Malaysia. Ambiga berasal dari Nigeria. Nama sebenarnya Ambiga ialah Miss Wa Dunga Wa Dungu. Ambiga ini bukan sahaja orang asing malah telah dibuktikan bahawa Ambiga ini menerima duit dari ejen Ah Seng untuk memburuk-burukkan Raja Gopal dan Raja Raja Melayu.

Tidak cukup dengan ini, Ambiga ini juga dibuktikan sebagai pengamal seks percuma. Malah kempen Ambiga menawarkan ‘free sex’ inilah yang menjadi daya tarikan utama untuk anak anak muda dari Kuala Berang turun beramai-ramai ke Dataran Merdeka. Saya ingin bertanya – adakah sesiapa yang tidak akan berminat dengan seks percuma. Kempen seks percuma dari Bersih ini cukup memberahikan. Bakal penunjuk perasaan bukan sahaja dapat seks percuma malah saya diberitahu aiskrim batang pun diberi percuma. Justeru, untuk membereskan tugas dan kerja kita, maka saya cadangkan kita terima sahajalah labon seks percuma ini sebagai sahih lagi mensahihkan.

Putar belit media

Maka akan timbul pula kisah bagaimana kamera wartawan dari Al-Jazeraa, Al-Bibisi, Al-Si-ant ant , Al-Jazail, Al-Jalakon, Al-Mush-rikin dan Al-Ma’aunah yang dirampas oleh penunjuk perasaan. Bukan sahaja kamera dirampas tetapi dipijak-pijak. Tidak cukup dengan dipijak-pijak, kamera ini juga dijual kepada Muniandy pembeli besi buruk dari Brickfields. Sekali lagi saya dengan penuh kesedaran, untuk melunaskan dan mempercepatkan tugas harian, saya telah menerima berita ini sebagai sahih lagi mensahihkan.

Bersih juga difahamkan bahawa ramai Polis Rahsia Najib yang dikenali dengan nama Ass Bee telah membeli baju T Bersih. Lebih dari 30 orang Ass Bee ini turut sama berdemo dengan memakai baju T berwarna kuning dengan logo Bersih. Bijak. Memang cukup bijak. Saya angkat topi. Saya juga tidak akan menolak berita Ass Bee ini sebenarnya menyamar sebagai penunjuk perasaan. Ass Bee bertugas untuk menjadi tukang kacau. Ass Bee jadi tukang provok. Maka kita terimalah kesah dan berita ini sebagai sahih lagi mensahihkan.

Saya juga tidak mempersoalkan tentang polis membawa kereta untuk melanggar demonstran di pinggir jalan. Atau berita tentang polis bermotosikal ke hulu ke hilir mamacu motosikal besar mereka dengan ligat dan laju. Kita tak perlu bertengkar tentang ini. Saya juga dengan senang hati menerima kisah bagaimana CheguBard, Tian Chua, Eli Wong,  Sivarasa, Peguam Latheefa Koya termasuk Peguam Minah Cun yang bernama Fadiah telah sama menerbus masuk ke Dataran Merdeka. Mereka bukan sahaja menerbus masuk ke Dataran Merdeka, malah mereka membaling kasut dan selipar kepada mata-mata yang bertugas.

Kemudian kita membaca pula bagaimana Anwar Ibrahim dan Azmin Ali berbisik-bisik dan berkenyit mata memberi tanda isyarat untuk merempuh masuk ke Dataran Merdeka. Mereka berdua ini mengikut surah labon Utusan Malaysia adalah orang jahat yang memulakan huru-hara. Ini pun saya terima sebagai sahih. Ada pula berita yang melaporkan Bersih telah dibajak oleh parti politik. Ada yang melaporkan bahawa Bersih menjadi kuda tunggangan parti pembangkang. Ada berita yang melaporkan Bersih ini ejen Pakatan Rakyat. Untuk saya semua ini adalah berita yang tepat. Untuk memudahkan kerja – saya tidak akan mempertikaikan semua berita ini. Saya juga tidak akan menolak berita-berita ini. Saya tidak akan membangkang laporan Utusan Malaysia.

Malah semua kisah ini saya anggap sebagai surah dan hadis sahih lagi mensahihkan. Saya tak ada masalah untuk menerima, mensahihkan dan menghalalkan semua laporan berita ini. Saya tidak akan bertegang leher untuk menafikan berita ini. Saya juga tidak akan berhujah untuk membuktikan bahawa semua berita ini direka-reka untuk mengalihkan pandangan orang ramai. Direka-reka agar orang ramai benci kepada Bersih. Saya akan terima semua berita ini dengan tangan dan zip terbuka.

Kehendak rakyat

Hanya, saya ingin bertanya kepada isteri…opps… suami Rosmah – kenapa ada rancangan hendak menipu dalam pilihan raya yang akan datang ini? Saya juga hendak bertanya – lebih 250,000 penunjuk perasaan yang turun ke jalan raya pada Sabtu lalu – mereka mahu apa? Apa tuntutan mereka? Beribu-ribu anak muda yang berdemo itu – apa yang mereka mahu? Beratus ribu anak muda dari kampung dan desa – dari semua pelusuk negara – berani ke jalan raya ini kerana apa? Anak-anak muda dari Kuala Brang, dari Kuala Kedah, dari Felda Chemomoi bertempur dengan FRU di Masjid Jamek – kenapa? Apa yang mereka mahu?

Setelah semua kisah kisah IBU segala demo ini mengenap – pertanyan di atas wajib dijawab. Soalan: Kenapa ada rancangan tersusun untuk menipu dalam PRU 13 ini timbul kembali? Soalan kenapa gerombolan United Malays National organisation merancang dengan menggunakan Akta Parlimen untuk menipu di PRU 13 diketahui ramai. Ini bukan berita bohong. Kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya, Jabatan Pendaftaran Negara, PDRM, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Perdana Menteri mengeluarkan kad pengenalan segera kepada pendatang asing ini – juga diketahui ramai.

Pendatang asing ini diberi kad pengenalan untuk membolehkan mereka mengundi. Ini bukan lagi rahsia. Rancancangan gerombolan United Malays National Organisation untuk menipu di Selangor juga diketahui. Beratus-ratus ribu nama pengundi ditambah untuk mengalahkan calon Pakatan Rakyat juga diketahui. Beribu-ribu nama pengundi Pakatan Rakyat dialih, dihilangkan atau diubah. Ini juga diketahui. 

Justeru, setelah heboh tentang keganasan penunjuk perasaan mengenap maka soalan kenapa United Malays National Organisation merancang untuk menipu di PRU 13 akan muncul kembali. Tidak dapat dielakkan. Kereta polis terbalik. Wartawan patah kaki. Azmin Ali buat kecoh. Ambiga penganut Hindu. Pak Samad jual Melayu. Dan seribu satu macam kisah penglipur lara ini tidak akan menenggelamkam satu persolan hakiki: Kenapa United Malays Natoonal Organisation hendak menipu dalam PRU 13?

Pada Sabtu 28 April 2012 ada 300 ribu, ada 250 ribu, ada 200 ribu atau 100 ribu – jumlah angka ini di jalan raya – jumlah angka tidak perlu dipertikai. Apa yang sahih ialah beratus ribu warga anak semua bangsa turun ke jalan raya menuntut pilihan raya yang adil dan bersih. 

Pilihan raya yang adil dan bersih dituntut untuk memastikan kerajaan yang wujud adalah kerjaan yang dipilih oleh rakyat. Bukan kerajaan yang naik tahtha kerana penipuan dalam pilihan raya. Berkuasa bukan kerana menipu tetapi kerana sokongan ramai. Sayugia di ingatkan – 250 ribu yang berdemo itu adalah tanda amaran kepada United Malays National Organisation.

Ini adalah tanda amaran dari 250 ribu warga anak semua bangsa. Amaran ini jelas bersuara: Jangan menipu dalam PRU 13. Dua ratus lima puluh ribu yang berarak dari Masjid Negara, dari Jalan Sultan, dari Masjid India, dari KLCC, dari Bricfield dan Pasar Seni menuju Dataran Merdeka adalah perarakan untuk memberi tanda amaran. Ini adalah tanda amaran yang menuntut agar pengundi pos dilupuskan, masa berkempen dipanjangkan, media dibebaskan dan daftar pengundi dibersihkan. 

United Malays National Organisation beringatlah kepada amran dari 250 ribu anak semua bangsa ini. Berwaspadalah agar amaran ini menjadi pedoman untuk membaiki diri. Kerana, jika PRU13 ini masih dijalankan dengan penuh penipuan maka bukan 250 ribu warga yang akan turun ke jalan raya – berjuta juta lagi yang akan bangun. Ini bukan satu amaran. Ini adalah satu janji.



.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors