RSS

BERSIHKAN PEMBODOHAN umNO




Bersih! Bersih! Bersih! Kata-kata ini telah menggegarkan.

Seperti semua maklum tanggal 28 April 2012 lalu merupakan detik bersejarah di dalam perjalanan sebuah negara moden bernama Malaysia apabila puluhan ribu bahkan ada mengatakan ratusan ribu rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama turun ke jalan raya menuntut pilihan raya bersih dan adil. Aksi ini dinamai sebagai Bersih 3.0.


Sehingga kini telah tersebar catatan para peserta di blog, nota Facebook dan di media alternatif yang menceritakan pengalaman dan sudut pandang masing-masing mengenai persitiwa yang menghebohkan negara bahkan dunia. Semua itu akan dikenang suatu masa nanti sebagai catatan penting sejarah Malaysia untuk generasi mendatang seperti mana buku “Face Off: A Malaysian Reformasi Diary (1998-99)” oleh Sabri Zain dan “Patah Balek: Catatan Terpenting Reformasi” oleh Fathi Aris Omar yang mengisahkan catatan seputar awal reformasi dan tahun-tahun seterusnya.


Bersih pertama

Saya mempunyai ikatan personal yang kuat dengan Bersih melalui aksi pertama mereka pada November 2007 di mana saya telah membantu sedikit sebanyak belakang tabir setelah diundang bekerja sukarela oleh Faisal Mustaffa yang pada waktu itu aktif sebagai jawatankuasa. Kesan pertama, pengalaman bergiat dengan Bersih mempertemukan saya dengan rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama yang cintakan negara dan di sini tiada sosok yang masih bermimpi bahawa negara ini milik Melayu dan Islam sahaja.


Pada aksi Bersih pertama saya terperangkap di Masjid Jamek setelah disembur gas pemedih mata dan air kimia dan kemudian berkumpul semula di Jalan Raja Laut sebelum berarak ke Istana Negara melaui Jalan Kuching dan Jalan Kinabalu dan malangnya disambut rakyat yang sedang bersurai setelah berjaya menghantar memorandum kepada Agong. Aksi pertama menurut saya dihadiri majoriti pendukung parti PAS dan PKR dan hanya sebahagian kecil bukan Melayu. Impak Bersih pertama yang boleh diukur adalah tumbangnya Barisan Nasional di 4 buah negeri dan hilangnya 2/3 majoriti mereka di parlimen buat pertama kali dalam sejarah.


Bersih 2.0

Kemenangan parti pembangkang (kemudian dinamakan Pakatan Rakyat) di Selangor dan Pulau Pinang serta Kuala Lumpur yang beragam kaum dan agama masyarakatnya telah merubah dinamik politik di Malaysia apabila kesedaran kelas menengah dan urban terhadap hak-hak sebagai rakyat dan tuntutan kepada perubahan dan penambahbaikan negara semakin lantang. Menariknya kelantangan ini merentas 3 kaum utama yang ada di Malaysia iaitu; Melayu, Cina dan India dan pada saya dipicu oleh damainya perubahan yang terjadi di 2 negeri tersebut tanpa melalui pergaduhan dan pertumpahan darah antara kaum. Mudah kata momok 13 Mei berjaya dilepasi dan kesempatan ini dimanfaatkan semaksimum mungkin untuk menggerakkan perubahan.


Tidak seperti jawatankuasa Bersih pertama yang didominasi ahli-ahli politik pembangkang, Bersih 2.0 berubah sifat apabila pemimpin-pemimpin NGO mengambil alih peranan yang pastinya mengundang pro dan kontra dari dalaman masyarakat sivil dan Pakatan Rakyat. Meskipun begitu faktanya siapa pun yang mengetuai, Umno Barisan Nasional tetap akan menganggap sebarang bentuk perlawanan sebagai musuh mereka bahkan musuh negara yang perlu dibanteras dengan apa cara sekalipun.


Tidak menghairankan apabila respon kerajaan terhadap Bersih 2.0 sangat di luar dugaan dengan tangkapan-tangkapan awal terhadap aktivis, rampasan baju kuning Bersih, tuduhan komunis sehingga teman seaktivis dari Korea Selatan terpaksa dihantar pulang dan aksi menutup bandaraya Kuala Lumpur. Seperti diramal aksi berakhir dengan keganasan dari pihak polis terhadap peserta. Meski semua itu, hasil mahal yang diperolehi dari aksi kedua adalah kemajmukan rakyat yang sanggup dan berani turun melepasi segala halangan yang dipasang polis menuju pusat kota.

Bersih 3.0

Buat pertama kali dalam sejarah Bersih, saya tidak dapat hadir menyertai rakyat di pusat utama aksi Bersih 3.0 iaitu Kuala Lumpur kerana sedang bertugas di Bali. Namun begitu kesedihan diubati dengan melakukan aksi Bersih 3.0 di Pantai Kuta yang sering menjadi tumpuan pelancong bersama rakyat Malaysia yang sedang bekerja dan belajar di sini. Tambah menarik aksi turut disertai beberapa pelancong Malaysia yang kebetulan berada di Bali dan mengetahui tentang aksi ini melalui Facebook, lihat betapa patriotiknya mereka sehingga sanggup mengorbankan sedikit masa percutian yang singkat. Tidak ketinggalan beberapa teman aktivis dari Bali turut hadir memberikan sokongan mereka. Aksi diakhiri dengan penghantaran memorandum tuntutan Bersih kepada konsul jeneral Malaysia di Bali.


Untuk pengetahuan, aksi Bersih 3.0 peringkat global telah berjaya dilakukan secara rasmi di 85 buah kota di 35 buah negara dan secara tidak rasmi di beberapa kota lainnya seperti di Nigeria dan Pulau Weh, Acheh. Apa yang saya maksudkan dengan rasmi adalah aksi yang terkoordinasi di bawah Global Bersih yang berpusat di Melbourne, Australia. Saya fikir ini merupakan aksi bersejarah dan wajib didokumentasi untuk diperingat kepada generasi mendatang.


Usai aksi di Pantai Kuta, saya melaju pulang ke rumah untuk mengikuti perkembangan terkini situasi di Kuala Lumpur. Persetankan “kerusuhan” yang telah berlaku dan teori-teori yang berlegar, saya sangat kagum dan benar-benar tidak berkata apa melihat kehadiran rakyat Malaysia yang melimpah ruah. Foto-foto kerumunan manusia yang kemudian muncul menimbulkan rasa iri hati kerana saya tidak di sana, sedih juga sebenarnya walaupun berjaya diubati dengan aksi di Bali.


Aksi Bersih 3.0 di Bali.

Jam-jam dan hari-hari seterusnya saya menghabiskan masa dengan membaca catatan-catatan peserta dan yang satu ini sangat menyentuh hati nurani saya;
“I am your typical Malaysian. A 4th generation Chinese born and raised in Malaysia. I am a mother of two young energetic children. I am your middle class average Jane Doe. I am a professional working 9-5. I studied here, married here, worked here and have never lived abroad. I did not go out on 428 because I have a terrible life. I did not go out because I am not loyal to my country or her rulers. I did not go out because I am a dumb wit bought by the opposition to cause trouble. I went because I love my country. I went because I am Malaysian. And thank you all who stood next to me that day to help me reaffirm that,” — Charmaine

Pasca-Bersih 3.0

Bersih 3.0 telah membentuk dua kubu di kalangan rakyat seperti baju kuning dan merah di Thailand, pro-Bersih dan anti-Bersih dan perdebatan hangat berlaku sebelum, semasa dan sejurus aksi selesai di laman media sosial dan dunia fizikal. Macam-macam pembenaran dibawa oleh kubu pro-Bersih dan begitu juga pembodohan dari kubu anti-Bersih, ya sekali lagi “pembodohan” kerana majoriti anti-Bersih menentang kerana alasan-alasan berikut; Ambiga itu pro LGBT dan murtad, kenapa korang tidak bersyukur, Melayu gaduh dengan Melayu bangsa lain bertepuk tangan, kalau korang kutuk polis jangan nanti dirompak melapor pada polis, korang diperalatkan Anwar Ibrahim yang kemaruk nak jadi PM dan lain-lain alasan sebodoh dengannya kerana sandaran mereka hanya kaum dan agama. Jarang bahkan hampir tiada kubu anti-Bersih yang berbicara tentang tuntutan-tuntutan Bersih.


Menurut saya dengan menolak semua pembodohan tersebut, impak terbesar Bersih 3.0 adalah bersatunya anak pelbagai kaum dan agama menuntut salah satu hak mereka sebagai rakyat iaitu pilihanraya bersih dan adil. Tiada momok perkauman sebaliknya rakyat berbilang kaum dan agama bersatu hati bersama-sama di waktu senang dan di waktu susah apabila ditembak gas pemedih mata.


Apakah 8 tuntutan Bersih beserta 3 tuntutan tambahan akan segera dipenuhi kerajaan amat sukar diramal. Seandainya pilihanraya tetap dilaksana jua tanpa mengendahkan segala tuntutan Bersih dan kelak dimenangi Barsian Nasional, gerakan menuntut perubahan akan semakin lantang dan bercorak partisan. Andai dengan segala kecurangan itu hati nurani rakyat secara berjemaah memilih Pakatan Rakyat, saya percaya gerakan Bersih akan menjadi pemicu kepada pengembangan besar-besaran kelompok masyarakat sivil dan non-partisan. Bahkan kini pun saya percaya satu pertiga dari peserta Bersih 3.0 dan 90 peratus peserta Global Bersih adalah terdiri dari kelompok masyarakat sivil dan non-partisan.


Pada hemat saya, kemenangan Pakatan Rakyat sangat penting untuk memudahkan Malaysia beranjak ke tahap seterusnya dengan syarat janji-janji perubahan dilaksanakan mereka. Kala itu saya, kita dan semua yang mendukung Bersih 3.0 berupaya melangkah jauh dalam segala agenda yang diperjuangkan dan tidak akan mudah terperangkap dengan pandangan-pandangan yang kini dinamai “partisan”.


Kemerdekaan kedua Malaysia ini perlu supaya tiada kedengaraan lagi alasan diperalat Anwar Ibrahim dan Ambiga, dan sudah tentu kita mahukan wacana kawan-kawan kita di Facebook tidak lebih lemah dari anak-anak sekolah menengah di Indonesia. Dari sisi lain Bersih bukan sekadar tentang pilihanraya bersih dan adil, sebaliknya tentang kualiti hujah dan pemikiran kubu yang menentang kerana kita mahukan penentang yang berfikir supaya negara bertambah maju dan dengannya dogma kaum dan agama menjadi terpinggir-


Oleh Zulhabri Supian 




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors