MENELANJANGI PEMBOHONGAN
Dua
minggu sesudah IBU segala demo berlangsung – pelbagai bentuk
pembohongan di taburkan. Semua ini dilakukan secara terancang untuk
mengalihkan dan memadamkan ingatan orang ramai terhadap isu yang
fundumental. Berita , kesah dan kenyataan yang remeh lagi temeh di
panjang lebar dan dibesar-besarkan. Semua ini dirancang agar umum
terlupa ajenda fundumental.
Agenda yang fundumental pada ketika
ini ialah rakyat menuntut pilihan raya dijalankan dengan adil dan
bersih. Ini adalah induk tuntutan. Ini adalah ibu dari segala tuntutan.
Ajenda inilah yang menjemput 300 ribu warga turun ke jalan raya pada 28
April yang lalu. Jumlah 300 ribu anak semua bangsa ini adalah bukti
bahawa rakyat Malaysia TIDAK lagi yakin kepada proses pilihan raya di
Malaysia ini akan di jalankan dengan adil dan bersih.
Rakyat
Malaysia – anak semua bangsa – yakin bahawa Suuruhanjaya Pilihan Raya (
SPR) sedang merancang untuk menipu di PRU13 nanti. Tiga ratus ribu
keluar berdemo adalah tanda mereka telah hilang keyakinan terhadap
sistem pilihan raya di Malaysia. Mereka - 300 ribu - turun berdemo
kerana tidak mahu ditipu. Inilah persoalan yang fundumental.
Untuk
pencerahan kita bersama dalam tulisan ini saya akan menelanjangi satu
demi satu pembohongan yang sedang ditabur. Pencerahan ini adalah
persediaan untuk kita semua turun sekali lagi jika kita ditipu dalam
pilihan raya yang akan diadakan tidak lama lagi.
Awal wahid – apa
yang wajib saya telanjangi ialah konsep : hak menumbangkan kerajaan.
Orang ramai terutama orang Melayu selalu ditakut-takutkan dengan
perkataan ‘menumbangkan kerajaan’. Perkatan dan konsep ini
dikuduskan sehingga orang ramai tidak berani bersuara. Orang Melayu
pula ditakut-takutkan dari bergerak menyusun saf untuk menumbangkan
kerajaan.
Para pembaca yang budiman, kita tidak harus takut.
Jangan merasa gentar untuk terlibat beramai-ramai dalam gerakkan
menumbangkan kerajaan. Menumbangkan kerajaan adalah pekara biasa.
Kerajaan Suharto tumbang pada tahun 1998. Kerajaan Marcos tumbang pada
tahun 1986. Kerajaan Shah Reza Pahlevi di Iran tumbang pada tahun 1980.
Kerajaan Mubarak di Mesir tumbang tahun lalu.
Justeru
rakyat bangun menumbangkan kerajaan dan sebuah kerajaan tumbang adalah
pekara biasa. Bukan satu pekara yang pelik. Bukan satu yang ganjil atau
unik.
Dari zaman berzaman kerajaan telah ditumbangkan oleh
rakyat. Kerajaan Melayu Melaka tumbang. Kerajaan Majapahit tumbang.
Kerajaan Pasai tumbang. Kerajaan Acheh tumbang. Kerajan Turki tumbang.
Kerajaan Czar Russia tumbang. Kerajaan Hitler tumbang. Justeru – kita
semua tidak perlu takut - menumbangkan kerajaan ini bukan satu jenayah.
Bukan satu kerja yang salah.
Mahathir Muhamad menakut-nakutkan
orang ramai dari bergerak untuk menumbangkan kerajaan Najib. Mahathir
ada sebab. Kerana apabila kerajaan United Malays National Organsiation
tumbang maka Mahathir sendiri akan di dakwa di mahkamah dengan pelbagai
kesalahan rasuah. Sebab inilah Mahathir bermati-matian mempertahankan
Najib Razak dari ditumbangkan oleh rakyat.
Tiga orang bekas ketua
polis negara a.k.a polis pencen - telah cuba menakut-nakut orang
ramai dari bergerak menyusun saf untuk menumbangkan kerajaan. Para
pembaca jagan risau. Sila ketawa kerana mereka ini adalah ‘Three
Stooges’ - Tukang Karut macam watak Wok Dogol, Wok Long dan Wok Seman
dalam naratif klasik wayang kulit.
Biar saya terangkan bahawa
ketiga-tiga Datuk , Tan Seri dan Tun ini ada ‘memiliki’ kes jenayah
yang amat besar. Seorang towkay judi pasti takut casinonya akan ditutup.
Seorang ahli tinju – masih ada kes yang belum selesai. Dan seorang
‘towkay lendir’ pasti tahu apabila kerajaan United Malays National
Organisation tumbang bergantang-gantang lendir akan dihimpap ke mukanya.
Justeru cakap-cakap ‘tiga ekor lanun’ ini wajib didengar dengan mulut
ternganga dan dua tangan menutup lubang telinga.
Untuk memahami
konsep menumbangkan kerajaan mari kita membuka mata untuk melihat ke
luar tingkap negara kita. Kerajaan Jimmy Carter telah di tumbangkan oleh
Ronald Reagan pada tahun 1980. Kerajaan George Bush telah ditumbangkan
oleh Barak Obama pada tahun 2005. Kerajaan Partai Buruh Gordon Brown
telah ditumbang oleh David Cameron pada tahun 2010. Paling baru – tiga
hari dahulu – di Peranchis, kerajaan Sarkozy telah ditumbangkan oleh
Francois Hollande.
Bila
saya menuliskan sejarah kerajaan yang ditumbangkan ini maka pasti ada
pembaca akan melompat bersuara. Akan menjerit-jerit mangatakan bahawa
Ronald Reagan, Barak Obama, Francois Hollande dan David Cameron
semuanya menumbangkan kerajaan melalui proses pilihan raya dan bukan
berdemo di jalan raya.
Syukur! Saya cukup senang hati apabila ada
pembaca yang akan berhujah sedemikian. Saya amat bangga jika ada
pembaca yang akan bertegang leher untuk melaungkan ke telinga saya
bahawa pilihan rayalah yang telah menumbangkan kerajaan si Ani dan Si
Anu. Ini hujah tepat dan saheh. Saya terima hujah ini.
Tetapi,
sila dengar pula apa yang ingin sampaikan disini. Kita semua wajib
menyedari bahawa pilihan raya di Amerika, di United Kingdom dan di
Peranchis tidak menipu. Rakyat di negara-negara ini bebas untuk memilih
sesiapa sahaja yang mereka suka. Lembaga Suruhanjaya Pilihan Raya
Peranchis tidak merancang untuk menipu para pengundi. SPR Peranchis
tidak merancang untuk memastikan Sarkozy menang dan calon Parti
Sosialis Francois Hollande kalah.
Di negara-negara ini pilihan
raya ialah pesta kebebasan untuk memileh kerajaan baru atau mengundi
kembali kerajaan lama. Tidak wujud penipuan. SPR di United Kingdom
kerjanya ialah mengatur dan penyusun pilihan raya bukan menipu pengundi.
Penipuanlah
yang membezakan diantara pilihan raya di United Kingdom atau di
Peranchis dengan pilihan raya di Malaysia. Penipuan ini adalah kunci dan
besi berani yang memanggil 300 ribu anak semua bangsa – tua dan muda –
turun ke jalan raya pada 28 April yang lalu. Pengundi di Malaysia TIDAK
mahu lagi ditipu.
Pilihan raya yang menumbangkan kerajaan di
United Kingdom atau di Peranchis adalah pengundian saheh dari warga
negara. Bukan saperti di Malaysia dimana SPR dengan kerjasama United
Malays National Organisation telah memberi Mat Bangla dan Mat Indon kad
pengenalan. Dengan kad pengenalan segera ini ‘warga asing’ akan dipaksa
untuk mengundi United Malays National Organisation.
Kerajaan
Sarkozy ditumbangkan bukan dengan menggunakan pengundi hantu. Kerajaan
Gordon Brown ditumbangkan bukan kerana undi pos. Ronald Regan
menumbangkan Jimmy Carter bukan dengan membuat persempadanan semula atau
menghilangkan nama pengundi.
Maka jelas kerajaan-kerajaan yang
ditumbangkan ini adalah melalui proses pilihan raya yang bersih dan
adil. Bukan dengan penipuan.
Jika
para pembaca telah memahami apa yang saya tulis diatas maka mari kita
melihat pula bagaimana Suharto, Marcos dan Mubarak menjalankan pilihan
raya. Suharto juga mengadakan pilihan raya. Tetapi majoriti dari 445
ahli parlimen adalah yang dilantik. Ini samalah saperti yang sedang
berlaku di Myamar sekarang. Parti Ang Suu Ki memenangi 45 dari 46 kerusi
yang dipertandingkan. Tetapi parlimen Myamar ada 664 Yang Berhormat.
Selain dari 45 YB yang dipileh – semuanya dilantik oleh tentera.
Marcos
menjadi Presiden Filipina selama 20 tahun. Kempen pertama Marcos pada
tahun 1965 hingga ke hari ini masih menjadi buah mulut. Ferdinand Marcos
menjadi Presiden melalui penipuan, melalui beli undi dan melalui
paksaan.
Kesah Hosni Mubarak dari Mesir lebih indah dan
menarik. Mubarak menjadi Presiden selama 30 tahun semenjak tahu 1975.
Pada tahun 1987, 1993 dan 1999 dengan licik Mubarak telah mengadakan
pungutan suara – bukan pilihan raya – untuk memastikan dia terus
berkuasa. Pada tahun 2005 Mubarak telah dicadangkan sekali lagi oleh
Parlimen Mesir untuk menjadi Presiden. Lalu dilakukan pemungutan suara.
Sayangnya hanya Mubarak seorang saja calon yang ada untuk dipileh.
Rakyat
Mesir semakin marah. Tuntutan pilihan raya bersih dan adil mula
kedengaran. Maka pada bulan September tahun 2005 diadakan pilihan raya
dengan pelbagai parti bertanding. Sebelum pilihan raya dijalankan
Parlimen telah meluluskan undang-uandang dan akta untuk memastikan semua
kuasa mutlak masih lagi ditangan Presiden Mubarak.
Kes Suharto,
Marcos dan Mubarak ini adalah kes klasik dalam Dunia Ketiga. Kita
tidak perlu lagi melihat kes Mobutu Seseko dari Congo atau Mugabe dari
Zimbabwe. Semua mereka ini adalah contoh pemimpin negara Dunia Ketiga
yang menang dalam pilihan raya.
Biar saya tuliskan apakah dia
ciri-ciri negara Dunia Ketiga agar pencerahan ini akan membantu kita
semua untuk memahami apa yang sedang berlaku sekarang. Ciri utama ialah
ruang demokrasi amat sempit dalam negara Dunia Ketiga. Sistem
kapitalis yang digunakan pakai ialah kapitalisma kroni. Elit politik dan
elit ekonomi hidup dengan kaya raya. Rasuah menjadi budaya. Media
dikongkong. Polis, sistem kehakiman, badan agama dan tentera digunakan
untuk mengancam orang ramai.
Semua ciri dan watak-watak ini
terdapat di Malaysia. Hakikatnya Malaysia walau pun memiliki bangunan
tinggi Petronas tetapi masih lagi berwatakkan
negara Dunia Ketiga.
Parti
United Malays National Organisation telah berkuasa selama 54 tahun. Ini
satu jangka masa yang amat panjang. Perlembagaan telah diubah
berkali-kali. Pelbagai akta telah ditambah. Pelbagai lembaga telah
ditubuh. Semua ini untuk memastikan United Malays National Organisation
terus berkuasa.
Suharto, Marcos dan Mubarak menipu dalam pilihan
raya untuk terus bedrkuasa. Rejim Najib Razak dan United Malays
National Organisation juga sedang merancang untuk menipu dalam PRU13.
Suharto, Marcos dan Mubarak menang dalam pilihan raya tetapi dihambat
keluar oleh rakyat.
Jangan silap faham – saya tidak menolak
pilihan raya. Apa yang ditolak oleh rakyat ialah penipuan dalam pilihan
raya. Justeru, jika kali ini United Malaya National Organsiation melalui
SPR menjalankan penipuan dalam PRU13 – maka rakyat Malaysia tidak ada
pilihan melainkan turun ke jalan raya.
Sama saperti yang berlaku
di Indonesia, Filipina dan Mesir – sesudah rejim lama dihumbankan
maka satu SPR baru ditubuhkan. SPR yang baru inilah yang akan
mengendalikan satu pilihan raya yang adil dan bersih. Ini bukan satu
angan-angan. Ini satu janji.(TT)
.