RSS

Air Percuma Selangor Untuk Bela Rakyat



SHAH ALAM – Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok menyifatkan kenyataan dibuat oleh ahli akademik, Prof Dr Suhaimi Abdul Talib kelmarin bahawa dasar Kerajaan Negeri memberi bekalan air percuma sebagai langkah tidak bijak dan tidak lestari sebagai tidak tepat.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan Rakyat (PR) telah mengkaji dasar tersebut sebelum menjadikannya sebagai manifesto Pilihan Raya Umum ke-12 dan mengambil alih pentadbiran negeri ini sejak
2008.

Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok
“Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sudah meneliti akaun Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dan keseluruhannya dan mendapati langkah Kerajaan Negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) menyertai penswastaan membawa kerugian kepada rakyat.

“Kalau bukan kerana kami (PR) memerintah,  maka pengguna air di Lembah Klang akan tanggung kerugian tersebut sekiranya mengikut perjanjian asal itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Suhaimi yang mengatakan dasar itu menyebabkan hasil Kerajaan Negeri terus merosot.

Suhaimi adalah Penolong Naib Canselor Pembangunan, Pengurusan Kemudahan dan ICT Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Teresa berkata, setelah PR memerintah negeri ini, pihaknya telah menangguhkan tarif air yang terus meningkat dari tahun ke tahun itu.

“Sebab itu kita (PR) nak ambil alih Syabas dan mengadakan penstrukturan semula air di negeri ini,” katanya.

Setiausaha Pas Selangor, Mohd Khairuddin Othman menyifatkan pandangan Suhaimi tersasar apabila mengatakan hasil kerajaan Selangor merosot setelah dasar air percuma dilaksanakan.

Menurutnya, Suhaimi sepatutnya meneliti rekod rizab kewangan Kerajaan Negeri Selangor kini berbanding rekod kewangan sewaktu ditadbir Barisan Nasional.

"Semasa mentadbir Selangor, BN tidak memberikan air percuma, tidak ada skim khairat kematian RM2,500, tidak ada hadiah RM1,000 masuk universiti, tidak ada skim anak kelahiran Selangor, tidak ada bantuan tadika, tidak ada skim taska, tidak ada pemeriksaan kesihatan percuma, tidak ada skim pembiayaan perniagaan Mimbar, tidak ada kebajikan kepada rakyat.

“Tetapi mengapa rizab Selangor sewaktu BN memerintah hanya berjumlah sekitar RM300 juta sedangkan apabila Pakatan Rakyat berikan berbagai kebajikan kepada rakyat Selangor termasuk air percuma, tiba-tiba rizab kewangan meningkat mencecah melebihi RM2 bilion,” katanya.

Beliau berkata, Pas Selangor menekankan bahawa matlamat kerajaan adalah bukan untuk berniaga dengan rakyat. ~ SH



.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors