RSS

Jenayah: Keberkesanan Pengawal Keselamatan Dipersoal



Bukankah hanya pengawal tempatan (warga Malaysia) dan bekas tentera Nepal sahaja yang dibenarkan bekerja sebagai pengawal keselamatan di Malaysia?
 
Pada tahun 2008, terdapat kira-kira 300 buah syarikat perkhidmatan keselamatan swasta. Pada tahun 2012, jumlah itu telah berkembang mencecah 600.Namun, tidak semua syarikat perkhidmatan keselamatan swasta mengambil pengawal keselamatan secara sah. Sebanyak 30,000 pengawal keselamatan pendatang asing tanpa izin (PATI) dilaporkan bertugas sebagai pengawal keselamatan dalam Malaysia. Kebanyakan  PATI yang bekerja sebagai pengawal keselamatan ini merupakan warga Pakistan, Bangladesh, India, Indonesia dan Myanmar yang dibayar gaji di antara RM400 hingga RM500 dan bekerja syif selama 12 jam sehari.

Namun, ianya telah diumumkan bahawa hanya pengawal tempatan dan bekas tentera Nepal yang dibenarkan bekerja sebagai pengawal keselamatan di Malaysia Dijangkakan sejumlah 10,000 warga Nepal yang merupakan bekas tentera atau kakitangan terlatih keselamatan akan mendapat manfaat dari pembukaan sektor keselamatan oleh kerajaan. Namun peraturan seperti ini tidak menghalang syarikat-syarikat berkenaan mengambil upah pendatang asing warga lain sebagai pengawal keselamatan, lantas menyediakan suatu jurang dalam jaringan keselamatan.

Jadual 1: Anggaran Kos Perasaan Selamat Palsu

Perkara
Jumlah
Penyembur ladaRM20
Sistem keselamatan rumahDari RM2000 tambah jumlah bagi penyelenggaran
Langganan untuk sambutan keselamatan jika penggera dicetuskanRM720 setahun
Skim komuniti berpagarRM600 setahun
Filem anti kecurian untuk tingkap kereta Dari RM1000
Kelas seni mempertahankan diri RM250 sebulan
Anjing keselamatanDari RM1000 –RM1200 setahun/ tidak termasuk kos doktor haiwan
Insurans ragutRM390 setahun
Insurans untuk pecah rumahDari RM485 setahun
Insurans tingkap keretaRM120 setahun
Pengunci stereng kereta Dari RM40

Rakyat Malaysia dianggarkan membelanjakan beberapa ribu ringgit setiap isi rumah untuk merasai perasaan selamat yang palsu. Kerajaan Barisan Nasional (BN) pula telah menjamin bahawa terdapat pengurangan dalam kadar jenayah dalam negara akan tetapi pada masa yang sama, pengamatan Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) mendapati bahawa, walaupun dengan peningkatan bilangan pengawal keselamatan (sah dan sebaliknya) bersertakan jaminan pihak kerajaan, namun, kawasan-kawasan perumahan berpagar dan dilindungi pengawal keselamatan meningkat secara mendadak sejak beberapa tahun ini. 

Jadual 1 menunjukkan anggaran perbelanjaan rakyat Malaysia dalam isu ini. Ianya dianggarkan bahawa sebanyak RM600 setahun dibelanjakan oleh sebuah keluarga untuk membayar skim komuniti berpagar. Manakala insurans untuk kejadian pecah rumah dianggarkan bermula dari RM485 setahun mengikut jenis skim yang dilanggani.

Kekejaman Jenayah Tidak Mendiskrimasikan

Jadual 2: Perbuatan Jenayah Terhadap Orang Awam Dari April – Julai 2012

Tarikh
Tempat
Kejadian
27 April
Mont Kiara
Kuala Lumpur
Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun, Nayati Shamelin Moodliar, warganegara Belanda diculik di hadapan sebuah Sekolah Antarabangsa.
27 April
Mid Valley
Kuala Lumpur
Seorang pelajar, Teng Sheng Hao dirompak di Mid Valley oleh seorang individu yang menyamar sebagai anggota polis.
27 Mei
The Curve
Petaling Jaya
Seorang wanita, Chin Xin-Ci, dihulur pisau di leher, diculik dan hampir dirogol ketika berjalan seorang diri ke arah kereta di The Curve.
27 Mei
The Curve
Petaling Jaya
Dua orang wanita telah dirompak wang sebanyak RM80,000 di The Curve.
6 Jun
Johor Baharu
Seorang pengawal keselamatan syarikat pengurup wang cedera akibat terkena lima das tembakan dalam kejadian rompakan di hadapan sebuah kompleks membeli-belah di Jalan Datuk Sulaiman.
24 Jun
Mid Valley,Kuala Lumpur
Seorang wanita dikelar di kepala ketika memasuki ke dalam keretanya di Mid Valley.
24 Jun
T.T.D.I
Kuala Lumpur
Jari seorang wanita hampir putus dicederakan oleh seorang perompak bersenjata apabila dia berada di hadapan rumah rakannya di Taman Tun Dr Ismail.[5]
6 Julai
Ampang Selangor
Seorang wanita Nooralida M. Noor telah diserang pada siang hari di sebuah tempat letak kereta berhampiran sebuah pasar raya besar kira-kira pukul 2.50 petang  apabila seorang lelaki secara tiba-tiba masuk ke dalam kenderaannya serta mengelar lengan kiri dan lehernya.
9 Julai
Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya
Seorang lelaki dan seorang wanita bersenjatakan pedang samurai dan sebilah parang menyerang Kompleks Jabatan Perdana Menteri sebelum ditembak oleh polis. Lelaki tersebut meninggal dunia akibat tembakan tersebut.
23 Julai
Publika
Kuala Lumpur
Seorang wanita, Farra Suhanna, 25,  diculik di tempat letak kereta di Kuala Lumpur oleh 3 orang lelaki yang memandu BMW. Farra kemudian ditinggalkan di Templer Park. Kereta Kia Forte beliau dengan beberapa barangan lain termasuk cincin pertunangan dilarikan oleh penculik tersebut. [6]
24 Julai
IOI Mall Puchong
Panggung GSC di IOI Mall Puchong dirompak dengan jumlah wang sebanyak RM 140,000 berjaya dilarikan. Rompakan dilakukan oleh empat orang lelaki bertopeng bersenjatakan parang. Mereka telah mengugut dua penolong pengurus yang sedang sibuk mengira wang di bilik pejabat untuk membuka peti besi di bilik pengurus.
25 Julai
Publika
Kuala Lumpur
Seorang wanita diserang ketika membuat bayaran di mesin ticket letak kereta pada siang hari, pukul 3.45pm di pusat beli belah, Publika.

Individu-individu penting tidak terkecuali dari menjadi mangsa jenayah. Pada 18 Julai 2012, sekumpulan perompak telah memasuki rumah bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, arwah Tan Sri Megat Junid Megat Ayub dan melarikan barang-barang berharga bernilai RM50,000. 

Kumpulan perompak tersebut telah mengikat pengawal keselamatan rumah beliau, isteri beliau dan juga pembantu rumah isteri beliau. Begitu juga rompakan yang berlaku di rumah milikan Ahli EXCO Melaka, Latiff Tamby Chik dan bekas Ketua Polis Negeri Melaka, Ahmad Long baru-baru ini.

Walaupun statistik jenayah negara telah menurun sebanyak 24.7 peratus antara tahun 2011 dan 2012, dan negeri Selangor juga telah mencatatkan penuruan sebanyak 19.4 peratus, pada masa yang sama rakyat Malaysia kini hidup dalam ketakutan, terutamanya para wanita yang merupakan sasaran kebanyakan perbuatan jenayah yang dilakukan. 

Jadual 2 dan kes-kes di atas tidak mencerminkan penurunan dalam kadar jenayah dalam negara. Malah, ia menunjukkan perkara sebaliknya yang berlaku. Ia menunjukkan kadar keganasan dan kekejaman perbuatan jenayah yang berlaku. Ia juga mencerminkan paranoia dan tahap ketakutan oleh rakyat Malaysia menghadapi setiap hari. Di samping itu, ianya juga mencerminkan fabrik masyarakat yang rapuh terutamanya jurang mereka yang berduit dan mereka yang miskin. Peningkatan dalam bilangan pengawal keselamatan dan penerbitan statistik menunjukkan penurunan kadar jenayah tidak akan memperbetulkan keadaan ini.

Di bawah ini mencatatkan syarat-syarat yang perlu dilepasi oleh mana-mana pengawal keselamatan sebelum dapat menjalani perkhidmatannya sebagai pengawal keselamatan. Harus diingati, syarat utama ialah pengawal keselamatan haruslah terdiri daripada warga Nepal dan warga Malaysia. Syarat-syarat tersebut adalah seperti yang berikut:

(a) wargenegara Malaysia;
(b) berumur dari 18 tahun;
(c) pengawal keselamatan berumur lebih 65 tahun tidak dibenarkan. Pengawal yang berumur 56 tahun hingga 65 tahun hendaklah mendapat pengesahan dari Pegawai Perubatan mengenai tahap kesihatan bagi setiap tahun;
(d) mempunyai syarat-syarat ukuran fizikal seperti berikut;
tinggi sekurang-kurangnya 1.57m bagi lelaki dan 1.52 m(5’) bagi wanita;
(i) berat badan sekurang-kurangnya 47.6kg (105paun) bagi lelaki dan 46kg (100 paun) bagi wanita;
(ii) diakui sihat dan sesuai oleh Pegawai Perubatan. (Pengesahan dari pegawai Perubatan adalah diperlukan bagi setiap pengawai yang diambil bekerja.)

Para pengawal keselamatan juga dikehendaki memerlukan kelulusan Bahasa Malaysia/Bahasa Melayu pada peringkat Penilaian Menengah Rendah/Sijil Rendah Pelajaran atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan. Di samping itu, para pengawal keselamatan juga hendaklah menjalani seperti yang berikut sebelum boleh menjalankan tugas sebagai seorang pengawal keselamatan:-

(a) menjalani latihan induksi/dalaman syarikat dalam masa tujuh (7) sdelepas diambil bekerja;

(b) menjalani latihan asas pengawal keselamatan tahap yang ditetapkan oleh Kementerian Dalam negeri dalam tempoh tiga (3) bulan selepas lulus tapisan keselamatan. Latihan asas ini hanya perlu dihadiri sekali dalam tempoh perkhidmatan pengawal dalam industri kawalan keselamatan;

(c) menjalani latihan berkaitan senjata apai sebagaimana yang ditetapkan dalam Peraturan tetap Senjatapi; dan

(d) menjalani Latihan Pengendalian Casih In Transit dalam tempoh tiga (3) bulan di pusat latihan yang diiktiraf oleh Kementerian Dalam Negeri.

Di bawah Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM) terdapat 600 syarikat dan 150,000 pengawal keselamatan yang berdaftar di bawah PPKKM tersebut. Syarikat-syarikat yang mengeluarkan uniform tanpa logo PPKKM dan tidak berdaftar dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) merupakan syarikat-syarikat perkhidmatan keselamatan yang menjalankan perniagaan secara haram. Tanpa pendaftaran di bawah KDN, ianya agak mustahil untuk KDN mengawal penubuhan syarikat-syarikat tersebut.

Walaupun terdapat syarat-syarat ketat yang harus diluluskan oleh para pengawal keselamatan, namun, tidak semua syarikat perkhidmatan keselamatan yang membekalkan pengawal keselamatan yang melaksanakan syarat-syarat ketat ini. Contoh keadaan ini ialah kejadian seorang wanita dirompak di luar bangunan kondominium kediaman wanita tersebut dan seluruh kejadian hanya dilihat oleh pengawal keselamatan yang ditugaskan menjaga keselamatan kondominium tersebut. Pengawal keselamatan tersebut tidak menunjukkan apa-apa inisiatif untuk membantu wanita tersebut.

Hidup Dalam Ketakutan  

Persoalan yang timbul ialah keberkesanan pengawal keselamatan dalam menjamin keselamatan di kawasan perumahan dan juga di tempat-tempat awam seperti di pusat membeli belah. Pada 17 Julai 2012[16], sekumpulan perompak telah merompak sebuah van keselamatan dan membawa lari RM4 juta di Johor Bharu. Perompak-perompak tersebut  menggunakan stun gun ke atas pengawal sekuriti yang membawa van tersebut untuk membawa lari wang tersebut. Manakala di Selangor sahaja sehingga tahun 2010, terdapat kira-kira 480 komuniti berpagar. 

Kehidupan dalam komuniti berpagar tidak menjamin keselamatan seseorang. Kes pecah masuk rumah bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub merupakan salah satu contoh ini. Saban hari rakyat Malaysia berdepan perbuatan jenayah yang semakin ganas dan tidak keperikemanusiaan di samping ianya tidak mengenali perbezaan antara bangsa, agama dan kelas.

Begitu juga, kes kecurian yang berlaku di kawasan seperti Bandar Country Homes, Rawang yang merupakan sebuah komuniti berpagar.  Kawasan elit seperti Bandar Country Homes ini telah mengalami beberapa kecurian di mana salah satu kes kecurian ialah para pencuri memberitahu pengawal keselamatan bahawa mereka merupakan tuan rumah dan pengawal keselamatan mempercayainya. KDN telah meluluskan 10,000 pengawal keselamatan terlatih dari Nepal dan pada masa yang sama, syarat-syarat ketat diletakkan dalam meluluskan pengawal keselamatan akan tetapi, kejadian- kejadian seperti di Bandar Country Homes hanya merupakan salah satu contoh di mana bilangan pengawal keselamatan tidak berhubung kait dengan kualiti pengawal keselamatan yang gagal dalam melaksanakan tugasnya kerana mereka tidak terlatih dalam menangani situasi rompakan.

Sehingga Februari 2012, terdapat 2,088,358 pekerja warga asing yang berdaftar, di mana 1,135,499 merupakan warga asing tanpa izin. Jumlah para pekerja warga asing telah melihatkan peningkatan dalam pengambilan kerja warga asing sebagai pengawal keselamatan.

Walaupun Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah memberi jaminan bahawa terdapatnya penurunan dalam kadar jenayah, akan tetapi semakin ramai rakyat Malaysia yang kian mempertahankan diri dan kawasan kediaman dengan mengupah syarikat-syarikat perkhidmatan keselamatan untuk menjaga keselamatan diri, keluarga serta komuniti mereka tanpa mengira sama ada pengawal keselamatan yang diupah itu pendatang warga asing haram dan bukan pengawal keselamatan warga Nepal mahupun tempatan.

Persatuan Agensi Keselamatan Profesional (ASPA) telah menyatakan pendiriannya untuk tidak menyokong mengupah warga asing sebagai pengawal keselamatan. Presidennya, Datuk Mustapha Ali juga menyuarakan pendapatnya bahawa harga murah mengupah warga asing sebagai pengawal keselamatan tidak menjamin keselamatan. Penggunaan pengawal keselamatan untuk menjaga keselamatan tidak akan membawa perubahan positif terhadap keselamatan mereka yang mengupah tanpa kerjasama dengan pihak berkuasa, iaitu pihak polis. Tanpa latihan dan pengalaman dalam menangani aktivti jenayah, tempat kediaman akan terus dirompak, keselamatan dan nyawa pelawat di tempat-tempat awam seperti di pusat membeli belah, terutamanya golongan wanita akan tetap terjejas.



Persepsi Jenayah

Niat konsep keselamatan manusia adalah suatu hubung kait di antara konsep kebebasan hendak dan kebebasan dari ketakutan. Ia merupakan suatu konsep untuk membebaskan kehendak kita sebagai manusia dari ketakutan, keganasan dan perasaan selamat dilindungi oleh pihak berkuasa. Oleh itu, keberkesanan pengawal keselamatan dan polis membanteras jenayah berhubung kait dengan kehendak rakyat dalam menghendaki keselamatan dan keamanan dari perbuatan jenayah. Statistik dari sumber yang tidak lagi dipercayai dan didokong oleh individu yang tidak lagi dipercayai oleh rakyat mempengaruhi lagi persepsi kadar jenayah dalam negara.

Ianya dapat dilihat bahwa rakyat Malaysia bersikap pesimis terhadap angka-angka yang dikeluarkan oleh Pemandu terhadap kadar jenayah Malaysia. Dalam konteks Malaysia, pengaruh persepsi kadar jenayah ini juga melibatkan faktor rakyat tidak lagi mempercayai kerajaan BN untuk mengeluarkan statistik yang boleh dipercayai.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, media sosial seperti Facebook dan Twitter telah memainkan peranan dalam penyebaran perbuatan jenayah yang telah berlaku. Semakin banyak perbuatan jenayah yang dilaporkan oleh orang awam di media sosial, contohnya penculikan Nayati dan juga percubaan penculikan Chin Xin-Ci. Peningkatan dalam laporan di media sosial menandakan penurunan dalam kepercayaan rakyat terhadap kebolehan pihak polis menyelesaikan masalah peningkatan dalam kadar jenayah yang berlaku saban hari.

Statistik kurang membawa makna apabila rakyat tidak berasa selamat walaupun kawasan perumahan mereka dikelilingi oleh pengawal keselamatan berbangsa asing yang tidak terlatih, dibayar dengan gaji kurang daripada gaji minimum, dan tiada keupayaan untuk menghalang perbuatan jenayah. Jika kerajaan BN serius dalam menangani perbuatan jenayah, maka usaha harus diletakkan kepada usaha menangani dan membanteras jenayah dan bukannya memperkecilkan perasaan takut yang dihadapi oleh rakyat. Ini adalah kerana perasaan ketakutan mempunyai pengaruh besar kepada keputusan-keputusan yang dibuat oleh masyarakat.

Rakyat Malaysia yang sudah jelik dengan perbuatan jenayah yang dilakukan ke atas mereka telah menjadi suatu pemangkin kepada penubuhan kumpulan-kumpulan anti-jenayah yang ditubuhkan oleh masyarakat. Di antara kumpulan anti-jenayah tersebut ialah penubuhan laman Facebook terbaru, Malaysian Mothers Against Crime oleh Presiden KEADILAN Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Penubuhan laman web ini bertujuan untuk menggalakkan kesedaran masyarakat tempatan mengenai perbuatan jenayah yang berlaku dan untuk menunjukkan kepada Hishamuddin mengenai kebenaran kadar jenayah yang berlaku dalam negara. 

Kumpulan Malaysian Mothers Against Crime ini seiringan dengan kumpulan-kumpulan anti jenayah lain yang juga tujuan penubuhan adalah untuk menggalakkan kesedaran komuniti tempatan mengenai perbuatan jenayah yang berlaku dan kadar jenayah. Di antara kumpulan-kumpulan komuniti tersebut ialahMalaysians Against RapeAssault and Snatch (MARAH), Be Alert Stay Safe dan Safer Malaysia.
 
Perubahan akan datang apabila nyawa manusia tidak dipandang sebagai hanya angka dalam statistik, dan apabila kerajaan BN dan polis memperbaiki persepsi mereka terhadap persepsi rakyat terhadap mereka. Rakyat mahu merasai selamat apabila berada di rumah, di pejabat dan di tempat-tempat awam seperti pusat membeli belah, taman rekreasi, di jalan raya dan sebagainya. Sudah berlalu zaman seseorang tidak perlu mengunci rumah untuk merasa selamat. Kini, masyarakat memasang sistem keselamatan di rumah yang beribu-ribu nilainya, para wanita tidak berasa selamat untuk berada di luar rumah, meskipun berada hanya di laman rumah kerana takut diapa-apakan oleh mana-mana individu yang berniat jahat terhadapnya dan keluarganya.
 
Penutup Kata

Persoalan yang timbul adalah, adakah masa hadapan ini yang kita kehendaki untuk generasi masa hadapan kita? Walaupun Pemandu dan KDN mengeluarkan statistik-statistik yang menunjukkan penurunan dalam kadar jenayah, akan tetapi pada masa yang sama statistik itu tidak akan membawa apa-apa makna apabila rakyat Malaysia hidup dalam ketakutan yang tidak berakhir. Lebih-lebih lagi apabila kesahihan statistik berkenaan dipertikaikan.

Struktur masyarakat tempatan perlu berubah dan perubahan itu bermula dari dalam. Kerajaan BN seharusnya bekerjasama dengan rakyat dan bukannya membelakangi kehendak dan suara rakyat. Ini kerana suara rakyat semakin kuat kedengaran dan apabila tiba hari rakyat mengambil inisiatif untuk bertindak secara vigilante terhadap penjenayah, maka di situlah kerugiannya.

Sumber

.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors