RSS

Skandal George Kent - Penubuhan Suruhanjaya Diraja menyiasat salahguna kuasa PM‏



KENYATAAN MEDIA
2 OGOS 2012

SKANDAL GEORGE KENT-LRT AMPANG: SURUHANJAYA DIRAJA UNTUK MENYIASAT SALAHGUNA KUASA PERDANA MENTERI

Anugerah kontrak bernilai RM1.1 bilion kepada Konsortium George Kent bagi pembinaan tambahan laluan LRT Ampang mengesahkan campur tangan dan salahguna kuasa Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak seperti yang didedahkan sebelum ini.

Sehingga kini, beliau tidak menafikan bahawa:

1. Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan dalam mesyuarat bilangan 1/2012 telah memutuskan bahawa Konsortium Balfour-Beatty adalah pembida terbaik dari segi harga dan kepakaran teknikal;

2. Jawatankuasa yang sama dan dipengerusikan beliau dalam mesyuarat bilangan 5/2012 telah membatalkan keputusan tersebut dan melantik Konsortium George Kent, walaupun pembida itu diputuskan tidak layak oleh penilai pakar kerana markah penilaian teknikal antara yang tercorot;

3. Daripada 8 pembida, 3 pembida adalah syarikat yang ditunjangi oleh Thales, sebuah syarikat besar dari Perancis yang sebelum ini dikaitkan dengan dakwaan merasuah Dato’ Seri Najib dan sekutu kanan beliau; dan

4. Pemilik George Kent dilaporkan sebagai seorang kenalan rapat Dato’ Seri Najib.

Fakta-fakta yang tidak dinafikan ini secara jelas menunjukkan ada unsur-unsur salahguna kuasa dan penyelewengan apabila syarikat milik rakan karib Dato’ Seri Najib dianugerahkan kontrak besar walaupun tidak mempunyai pengalaman atau kepakaran.

Walaupun saya telah membuat laporan polis dan saya sendiri telah disiasat polis, itu tidak mempunyai apa-apa kesan kepada keputusan yang akan melibatkan nyawa jutaan rakyat dan berbilion ringgit wang rakyat. Jelas sekali bahawa pihak polis dan SPRM tidak berkuasa untuk menyiasat Dato’ Seri Najib sehinggakan anugerah kontrak tersebut terus dibuat tanpa mengira kemarahan rakyat.

Mengambil kira kegagalan pihak polis menyekat perlakuan salahguna kuasa di peringkat tertinggi kerajaan ini, saya mendesak supaya sebuah Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat peranan dan campur tangan Dato’ Seri Najib di dalam penganugerahan kontrak tersebut kepada rakan karibnya.
Lebih-lebih lagi apabila ada beberapa persoalan besar mengenai kepentingan awam yang berkait dengan kes ini:

1. Campur tangan Dato’ Seri Najib di dalam proses perolehan projek-projek negara menggambarkan kroniknya amalan rasuah dan salah gunakuasa di peringkat tertinggi negara;

2. Kemungkinan wujudnya campur tangan Dato’ Seri Najib di dalam institusi-institusi negara seperti Kamar Peguam Negara, Bank Negara Malaysia dan Polis Diraja Malaysia apabila individu yang terlibat mendedahkan skandal beliau terus dihadapkan ke mahkamah kurang 24 jam dari pengumuman anugerah kontrak kepada George Kent;

3. Persoalan mengenai hubungan Dato’ Seri Najib dengan Thales yang didakwa terlibat dengan penjualan dokumen sulit pertahanan negara membayangkan penglubatan pimpinan tertinggi negara dalam kegiatan yang mengkhianati negara.

Persoalan dan tuduhan-tuduhan ini hanya boleh dirungkai melalui sebuah Suruhanjaya Diraja yang mempunyai kuasa penuh menyiasat seorang Perdana Menteri.

Jika Dato’ Seri Najib yakin beliau tidak bersalah, beliau tidak perlu gentar untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat semua dakwaan ini.

MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN



.


There was an error in this gadget
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Posting Terkini

Total Pageviews

Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors