RSS

RM30 Hingga RM100 Billion wang Bank Negara Hilang Ketika Era Mahathir Haruslah Di Siasat Segera! - LKS



Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata beliau pernah mengatakan Pakatan Rakyat (PR) patut membuka semula siasatan terhadap skandal RM30 bilion tukaran wang asing 1992 jika berjaya mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.
 
Selain itu, katanya, Suruhanjaya Siasatan Diraja sepatutnya ditubuhkan bagi menyiasat kerugian RM100 bilion yang ditanggung negara di dalam skandal kewangan sepanjang 22 tahun era pemerintahan bekas Perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, walaupun 13.3 juta pengundi pada PRU-13 belum membuat keputusan sama ada mereka menyokong cadangan itu, siasatan awam menyeluruh perlu dilakukan kerana kerugian RM100 bilion itu tiada langsung akauntabiliti dan ketelusan malah rasuah, kronisme dan penyalahgunaan kuasa berleluasa selama lebih tiga dekad itu.

“Saya memberi jaminan tidak mahu melihat Mahathir mengalami nasib sama seperti Mubarak atau Gadafi, atau ditahan di penjara tetapi perlu ada perakaunan penuh mengenai kerugian RM100 bilion skandal kewangan selama era Mahathir.

“Sebaliknya mahu melihatkan institusi penting negara seperti kehakiman, perkhidmatan awam, Pejabat Peguam Negara, polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dikompromi dan tunduk mengikut perintah Perdana Menteri yang sehingga kini Malaysia masih belum lagi pulih sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan media mengenai Pengiraan Detik 47 Hari Ke PRU-13, semalam.

Menurutnya, hanya selepas itu Malaysia boleh bermula dengan halaman baru iaitu membina bangsa Malaysia yang hebat yakni yang bersatu, harmoni, berdaya saing, progresif dan makmur.

Beliau berkata, sehingga kini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih gagal menyatakan secara jujur dan berterus-terang sama ada rakyat Malaysia masih membayar RM100 bilion skandal kewangan yang dilakukan dalam era pemerintahan Mahathir dengan keputusan kerajaan pada 2011 yang menghapuskan RM580 juta hutang Tan Sri Tajuddin Ramli yang diselesaikan “luar mahkamah” antara Danaharta dan GLC lain dengan mengambil kira semua saman yang belum selesai antara mereka.

“Sebelum penyelesaian itu, Tajuddin mendakwa dalam afidavitnya bahawa Mahathir membuatnya membeli MAS pada 1994 bagi menyelamatkan Bank Negara yang mengalami kerugian pertukaran wang asing secara besar-besaran berpunca daripada spekulasi pasaran sebagai “khidmat kepada negara” dengan “Overriding Agreement” untuk membayar gantirugi beliau terhadap sebarang kerugian yang ditanggung.

“Walaupun perkara ini dinafikan Mahathir, perlu ditentukan siapa yang bercakap benar, Mahathir atau Tajuddin dan siapa yang mesti bertanggungjawab terhadap kerugian RM10 bilion MAS, RM1.8 bilion kerugian pembelian semula 29.09 peratus kepentingan Tajuddin dalam MAS pada harga RM8 seunit berbanding harga pasaran RM3.68 seunit ketika perjanjian ditandatangani pada 20 Disember 2000 diikuti laporan polis MAS dari 2002 bahawa Tajuddin menyebabkan pengangkutan negara kerugian melebihi RM8 bilion,” ujarnya.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur menggangarkan di Parlimen dua dekad lalu bahawa Bank Negara kerugian RM30 bilion daripada skandal pertukaran asing ketika pemerintahan Mahathir.

Bagaimanapun, katanya, Bank Negara mendakwa kerugian RM10.1 bilion pada 1992 dan RM5.7 bilion pada 1993 sementara bekas Timbalan Gabenor Bank Negara, Dr Rosli Yaakop tahun lalu di sebuah forum awam menganggarkan Bank Negara kerugian antara US$27 dan US$33 bilion, lima kali ganda melebihi rizab asingnya dan aset keseluruhan sebanyak US$20.7 bilion pada 1992.

“Terkini portal berita perniagaan yang baru berusia tiga hari, KiniBiz, Jose Barrock melaporkan “Syed Mokhtar eyes Malaysia Airlines” bahawa Syed Mokhtar Albukhary mencadangkan kerajaan persekutuan mengambil alih cabang pelaburan negara, 69.3 peratus kepentingan ekuiti Khazanah Nasional Berhad dalam Malaysia Airlines (MAS) termasuk sebahagian daripada subsidi minyak jangka panjang oleh kerajaan untuk 60 tahun.

“Rakyat Malaysia menanti pendedahan sepenuhnya perkembangan terbaru itu dalam kerumitan hubungan korporat-kerajaan, dengan “sumber yang dekat dengan Syed Mokhtar” menafikan terdapat cadangan untuk mengambil alih MAS dengan “dua sumber berlainan” mengesahkan bahawa urusan sedemikian sedang difikirkan,” tambahnya.

Bagaimanapun, katanya, isu utama mengenai kebimbangan orang ramai terhadap tadbir urus yang baik di Malaysia sama ada membabitkan skandal kewangan lama yang muncul daripada penswastaan secara menyeluruh dan khususnya mengenai penerbangan milik negara yang bermasalah.

“Selain itu, empayar perniagaan Syed Mokhtar dan hutang meganya membimbangkan sama ada ia akan diselamatkan (bail out) kerajaan menggunakan duit pembayar cukai dan sejarah korupsi, kronisme dan penyalahgunaan kuasa di dalam senarai panjang Umnoutra yang diselamatkan dengan tanggungan rakyat sejak berdekad lalu.

“PRU-13 adalah waktu paling sesuai untuk meninjau kembali isu yang membimbangkan orang ramai mengenai akauntabiliti, ketelusan dan tadbir urus baik.

“Walaupun Najib telah memberi keutamaan untuk akauntabiliti, ketelusan dan tadbir urus baik dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) serta Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), semua itu kekal sebagai slogan yang meniti di bibir memandangkan tiada yang berubah dalam bidang itu atau kedudukan rasuah Malaysia seperti digambarkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) di bawah Najib lebih buruk berbanding Perdana Menteri sebelumnya – Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein, Tun Mahathir dan Tun Abdullah,” katanya.

“Skandal MAS di bawah Najib berterusan sebagaimana Barry Wain, dalam bukunya “Malaysian Maverick”, menggangarkan Malaysia kerugian RM100 bilion di dalam empat skandal kewangan ketika pemerintahan Mahathir.

“Pada PRU-13 nanti, pengundi Malaysia bukan saja perlu menghukum transformasi kosong Najib sepanjang empat tahun lalu, juga menghukum 22 tahun autoritarian dan korup Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri dari 1981 hingga 2003 yang ketika ini begitu rancak berkempen,” katanya.  ~Roketkini



.


There was an error in this gadget
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Posting Terkini

Total Pageviews

Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors