RSS

FRU Dan Penyokong Sama-Sama Ganas : Perak Bakal Berdepan Tindakan Tegas FAM



PETALING JAYA - Pasukan Perak bakal berdepan tindakan tegas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) termasuk kemungkinan beraksi tanpa penyokong, sekiranya didapati bersalah dalam insiden kekecohan selepas aksi Liga Super di Stadium Perak, Selasa lalu. 
 
Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata pihaknya menerima laporan daripada Pesuruhjaya Perlawanan pada Jumaat mengenai kejadian itu sebelum membawanya kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk proses perbicaraan. 
 
"Jabatan Undang-Undang dan Jawatankuasa Tatatertib FAM akan melihat perkara ini secara keseluruhan. Kalau ada kes, kita akan keluarkan surat pertuduhan (kepada pihak terbabit). 
 
"Kebiasaannya, kita beri tempoh seminggu untuk sesebuah pasukan memberi surat maklum balas sebelum Jawatankuasa Tatatertib menentukan tarikh sesuai untuk perbicaraan kes," katanya. 
 
Hamidin bercakap kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM ke-11 bagi penggal 2010-2014 di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini, semalam.
 
Ia dipengerusikan Presiden FAM Sultan Ahmad Shah dan turut dihadiri timbalan baginda, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah serta anggota gabungan FAM. 
 
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Datuk Taufik Abdul Razak berkata pihaknya akan membincangkan kes berkenaan selepas menerima laporan daripada Sekretariat FAM. 
 
Beliau yang kecewa dengan insiden itu turut menasihatkan penyokong yang hadir ke stadium supaya tidak mengulangi perkara sama kerana ia hanya merugikan persatuan bola sepak negeri yang terpaksa menanggung akibatnya. 
 
"Bagi saya tiada gunanya kita mengenakan denda yang tinggi (kepada pasukan terlibat) sekiranya penyokong masih mengulangi perkara serupa. Mereka perlu mengubah sikap demi kemajuan bola sepak negara," katanya. 
 
Aksi Liga Super antara Perak dan Johor Darul Ta'zim itu tercemar dengan insiden kekecohan yang ditimbulkan segelintir penyokong Perak selepas pasukan tuan rumah kalah 0-1 kepada pasukan pelawat. 
 
Mereka dilaporkan bertindak liar dengan membaling batu dan mercun sehingga mencederakan dua petugas media yang membuat liputan perlawanan. 
 
Pasukan Unit Simpanan Persekutuan dilaporkan terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan pancutan air bagi menyuraikan penyokong tuan rumah yang terus menimbulkan kekecohan selepas perlawanan itu. 
 
 
 
.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Blog List 1

Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors