RSS

Aminah Abdullah Dakwa Wan Azizah Lari Dari Tanggungjawab



Tindakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang tidak mempertahankan jawatan Ketua Cabang Permatang Pauh dalam pemilihan parti itu kali ini menunjukkan beliau seolah-olah cuba melarikan diri daripada tanggungjawab.

Bekas Ketua Wanita PKR negeri, Aminah Abdullah berkata, Wan Azizah yang juga isteri Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sepatutnya melepaskan jawatan itu kerana mempunyai banyak 'hutang’ yang belum dilunaskan terhadap penduduk kawasan tersebut.

Beliau mendakwa, banyak masalah rakyat yang masih berbangkit di kawasan Permatang Pauh yang belum diselesaikan biarpun Wan Azizah mengetuai PKR dan pernah menjadi Ahli Parlimen kawasan terbabit.

"Suatu ketika dahulu, Wan Azizah mengkhianati pengundi Permatang Pauh apabila dengan mudah melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen semata-mata mahu memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kini sekali lagi orang Permatang Pauh seolah-olah dipermain-mainkan apabila Wan Azizah tidak mahu mempertahankan jawatannya sebagai Ke­tua Cabang setelah berjaya menawan Dewan Undang Negeri (DUN) Kajang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pemilihan Ahad lalu, jawatan Ketua Cabang Permatang Pauh menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Norlela Ariffin dan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri, Amir Md. Ghazali. Berdasarkan keputusan tidak rasmi, Norlela tewas selepas hanya mendapat 70 undi berbanding Amir yang memperoleh 171 undi.

Pemilihan Cabang PKR Permatang Pauh juga seolah-olah diboikot ahli-ahlinya sendiri selepas hanya 275 ahli keluar mengundi berbanding kira-kira 6,000 ahli berdaftar yang layak berbuat demikian.

Aminah menambah, tindakan Wan Azizah juga menunjukkan beliau bimbang berlaku penolakan terhadapnya dalam kalangan ahli PKR Permatang Pauh.

"PKR ini hanya gah disebabkan Anwar sahaja dan pemimpin lain termasuk Wan Azizah sendiri tidak ada tempat dalam parti termasuk dalam kalangan ahli PKR sendiri," katanya.

Mengenai insiden kekecohan memalukan yang berlaku dalam pemilihan PKR kali ini, Aminah berkata, perkara itu bukan menghairankan kerana pemilihan tersebut berlangsung dalam keadaan parti tiada hala tuju.

"Sepatutnya pada tahap ini PKR sudah matang mampu mengadakan pemilihan dengan sempurna dan lancar tetapi apa yang berlaku jelas menunjukkan parti ini lemah.

"Kalau pemilihan parti pun tidak dapat dilaksanakan dengan baik, bagaimana untuk mentadbir negara?" katanyalagi.






.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Blog List 1

Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors