RSS

umno/bn Makin Parah Di Sabah - Pengundi Sulu Di Lahad Datu Tolak Najib



Kad pengenalan sudah diberi dan tempat juga sudah diberi. Hanya menunggu masa untuk turun mengundi. Itu keistimewaan yang diberikan Najib Razak kepada Sulu.

Entah di mana silapnya, rencana itu tidak mengikut pelan asal. Tiba-tiba saja, berlaku pertumpahan darah. Lalu, dikerahkan lebih ramai tentera ke Lahad Datu.

Lagu-lagu kepahlawanan berterusan didendangkan dengan harapan rakyat melupakan hajat asal Umno-BN.

Apakah niat asal Umno itu? Iaitulah rencana hendak jadikan undi kaum Sulu di Lahad Datu itu sebagai pengundi yang menyelamatkan kuasa BN.

Ya, siapalah yang dapat menjangkakan hal ini terjadi. Yang paling malang tentu sahaja balu-balu dan anak-anak tentera yang terkorban baru-baru ini.

Mereka dan rakyat seluruhnya tidak menyedari bahawa suami dan ayah mereka telah terkorban gara-gara salah aturan rencana BN yang mahu menuai kuasa di Sabah melalui undi orang-orang Sulu yang sudah ada kad pengenalan itu.

Tentera kita sepatutnya ada majlis syura yang membuat keputusan sendiri apakah arahan Zahid Hamidi dan kerajaan itu perlu dipatuhi ataupun tidak. Pakatan Rakyat patut peka terhadap hal ini.

Tidak boleh kita jadikan tentera dan polis itu sebagai pasukan yang mengikut sahaja. Manifesto PR bukan seperti BN yang hanya memberi insentif wang seperti yang pernah dilakukan BN ke atas tentera.

Tentera, seperti orang awam, mereka perlukan kebebasan bertindak. Mereka perlu ada sistem syura mereka sendiri yang bertujuan menyemak arahan kerajaan.

Tidak perlu pun FRU diturunkan bertujuan mengepung demonstran jika polis sedar betapa demonstran itu bukan hadir untuk mengancam negara dengan demo itu. Tapi kebebasan menyemak arahan ini tidak diberi BN kepada tentera dan polis.

Demikianlah yang terjadi di Lahad Datu itu. Bukanlah tentera tidak mengetahui hal-hal berkaitan ancaman negara. Mereka ada unit risikan yang terlatih.

Tetapi, tentera terpaksa akur arahan Umno, BN. Arahan bodoh ini hadir daripada Zahid Hamidi, Hishammuddin, Najib Razak dan Dr Mahathir yang tidak terlatih di dalam bidang ketenteraan.

Bayangkan, negarawan seperti Dr Mahathir yang sudah tiada kuasa itu cuma perlu buat kenyataan agar suatu serang balas dikenakan di Lahad Datu. Lalu tiba-tiba sahaja beberapa ketumbukan ketenteraan dikerah ke Sabah.

Di mana titik akhirnya perang tanpa strategi dan ketika rakyat tidak mendapat maklumat yang tepat ini? Askar ini akhirnya akan diburu kekesalan seperti mana tentera yang mengepung Natrah di Singapura dahulu.

Akhirnya, setelah mereka berhasil membawa Natrah dan keluarganya di atas kapal terbang maka barulah askar ini sedar bahawa mereka dikerahkan untuk memudahkan gerak kerja menukar agama seorang gadis Muslim secara paksa di benua Belanda.

Seandainya askar, balu dan anak-anak itu tahu bahawa kehadiran Sulu ini adalah bertujuan hendak menyelamatkan kuasa BN di Sabah dengan bantuan pengundi Sulu yang telah diberikan kad pengenalan itu, nescaya mereka akan marah!

Apa pun, perang ke atas Sulu di Lahad Datu ini akan menggugat keyakinan warga Malaysia yang berketurunan Sulu untuk kembali menyokong BN selepas Najib Razak telah menyerang perkampungan mereka yang Najib sendiri beri selama ini supaya mereka dapat mengundi BN.

Para pengundi Sulu yang sudah diserang itu sudah tentu tidak akan mengundi BN yang telah membuat anaiaya ke atas mereka. Yang paling pening kini sudah tentu Najib Razak juga. Sabah akan goyang, Umno melayang, dan Putrajaya tumbang.

Najib terguling, jatuh tersungkur manakala Rosmah tersingkir lalu tersembam di Sri Perdana. Hakikat inilah yang pahit ditelan BN pada zaman kejatuhan mereka. -Oleh H FANSURI (DD)


Suluk Ikrar Sokong Kerajaan BN

Lebih 300 orang masyarakat keturunan Suluk tempatan Sandakan yang diketuai Ahli Parlimen Libaran Datuk Hj Juslie Ajirol telah berikrar sentiasa menyokong dasar-dasar kerajaan yang memerintah negara ini termasuk kepada pucuk pimpinan kerajaan pusat Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan pucuk pimpinan negeri Datuk Seri Musa Hj Aman.

Masyarakat Suluk tempatan Sabah khususnya daerah Sandakan mengutuk sekeras-keras tindakan kaum Sulu Filipina yang menceroboh negara ini khususnya di Lahad Datu dan Semporna sehingga mengorbankan 10 orang anggota keselamatan kita.

Kata Juslie, ekoran tragedi di Lahad Datu perbuatan Jamalul Kiram III yang mengaku dirinya adalah Sultan Sulu, maka sedikit sebanyak mencemarkan nama baik banga Suluk di negara ini; khususnya di Sabah kononnya semua pengganas tersebut adalah terdiri berbangsa Suluk.

“Bangsa Suluk yang dilahirkan di Sabah orangnya bersopan santun berbudi bahasa; sama ada dengan orang tua ataupun bangsa-bangsa lain dan jarang sekali membuat sebarang perkara yang melanggari undang-undang negara dan ramai bangsa Suluk yang menjadi pemimpin tinggi kerajaan sehingga ada yang menjadi menteri dan wakil rakyat,” tegas Juslie.

Kata Juslie, Bangsa Suluk memang mempunyai darah Satria, darah pahlawan. Contohnya seperti Mat Salleh kerana beliau adalah seorang pahlawan yang gagah dan harus menjadi satu kebanggaan kepada masyarakat Suluk; atas keberaniannya menentang penjajahan British. Walaupun beliau gugur tetapi niat dia baik untuk mempertahankan kedaulatan negeri Sabah pada masa itu disebut Koloni North Borneo.

“Bukan seperti Jamalul Kiram III yang bertindak kononnya mahu menuntut Sabah tetapi tidak mengikut lunas-lunas yang betul sehingga menceroboh dan mencetuskan kekecauan dan kecacauan di negeri ini,” Ujarnya.

Juslie menambah bukan semua bangsa Suluk dari Filipima yang ramai tinggal di negara ini menyokong perjuangan sia-sia Jamalul Kiram itu malahan; sebahagian dari mereka bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana meneirma mereka tinggal di negara ini.

Mereka, kata Juslie mendapat kesenangan yang berlipat ganda di mana anak-anak mereka yang mendapat pendidikan tinggi sudahpun bekerja di jabatan-jabatan kerajaan dengan memegang beberapa jawatan penting.

Sebagai menghargai dan mengenang jasa pengorbanan para perwira yang gugur di medan pertempuran mempertahankan kedaulatan negara dari terus dicabuli dan diceroboh oleh pengganas yang sedikitpun tidak ada rasa peri kemanusiaan; beliau telah menerima derma hasil kutipan daripada beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) Libaran sebanyak RM1,500 untuk disumbangkan kepada Tabung Wira Lahad Datu.

“Kita sebagai insan yang penyayang, prihatin cintakan keamanan dan kemakmuran. Marilah kita sama-sama berdoa kepada Allah supaya para tentera dan polis yang kini sedang berada di perbatasan untuk menentang musuh-musuh durajana itu sentiasa dilindungi Allah dan semuanya keadaan selamat,” tambah Juslie.

Turut hadir pada majlis Sumpah Ikrar tersebut yang diadakan di Ballroom disebuah hotel terkemuka di sini ialah Timbalan OCPD Fadhil Mohd Ali.

-Oleh: SHAIMON S JUMADI (Sabahkini) 





.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors