SHAH ALAM 19 APRIL: Pegawai Perhubungan Awam dan Korporat Media
Selangorku, Mansor Abu Bakar kembali ke Rahmatullah pada jam 10.30 pagi
tadi selepas mengalami komplikasi kesihatan demam denggi, jantung, darah
tinggi dan paru-paru.
Perkara ini disahkan oleh Ketua Jurukamera Selangor Kini, Hanafi
Mohamed selepas beliau dihubungi sendiri oleh anak sulung Allahyarham
Mansor pagi ini.
Pengurusan
jenazah akan dilakukan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang sebelum
dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Delek.
Mansor ditahan di hospital sejak minggu lalu kerana mengalami masalah
kesihatan sebelum tidak sedarkan diri dan bergantung dengan bantuan
pernafasan melalui mesin.
Sebelum ini, Exco Belia, Sukan dan Kemudahan Infrastuktur Awam, Dr
Ahmad Yunus Hairi dan Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah
Ismail meluangkan masa melawat beliau.
Sementara
itu, Bekas Pengurus Bola Sepak Selangor, Zakaria Rahim dalam
Facebooknya melahirkan ucapan takziah diatas pemergian Mansor.
“Sahabat saya yang sangat saya hormati kerana kelembutan tutur dan
adabnya, pengacara TV Selangor, DJ Mansor telahpun meninggalkan keluarga
dan rakan-rakannya buat selama-lamanya jam 10 pagi tadi di Klang.
“Almarhum juga telah tinggalkan ibu yang amat menyanyanginya kerana
kata ibunya, arwah tak pernah lupa untuk menelefonnya SETIAP hari
bertanya kabar atau bercerita tentang perjalanan hariannya.
“Semoga
Allah mencucuri rahmat keatas rohnya dan meletakkan rohnya dikalangan
orang-orang yang soleh. Selamat jalan sabahatku. Kehilangan mu amat
dirasai. Innalillah,” katanya.
Mansor yang lebih dikenali sebagai DJ Mansor merupakan antara
individu awal yang bertugas bersama Media Selangorku yang ketika baru
ditubuhkan sekitar tahun 2009 dan dikenali sebagai Tv Selangor.
Selain mengendalikan rancangan Apa Khabar Selangor (kini dikenali
sebagai Salam Selangor), DJ Mansor pernah menjadi penyampai stesen Radio
Web Selangor (RWS) selain menjadi tenaga pengajar kepada bakat baru
yang ingin menceburi bidang pengacaraan.
Warga kerja Selangorku merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan
pemergian Allahyarham DJ Mansor merupakan satu kehilangan besar buat
unit penerbitan.
Al-Fatihah…
MB ucap takziah kepada keluarga DJ Mansor
SHAH ALAM 19 APRIL: Menteri Besar , Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Pegawai Perhubungan Awam dan
Korporat Media Selangorku, Mansor Abu Bakar yang meninggal dunia pagi
tadi.
“Takziah kepada keluarga DJ Mansor yang telah meninggal dunia pagi
tadi. Moga roh beliau tenang di sana. Al-fatihah,” kata Abdul Khalid
menerusi laman Twitter miliknya.
Mansor
yang lebih dikenali sebagai DJ Mansor kembali ke Rahmatullah pada jam
10.30 pagi tadi selepas mengalami komplikasi kesihatan demam denggi,
jantung, darah tinggi dan paru-paru.
Perkara ini disahkan oleh Ketua Jurukamera Selangor Kini, Hanafi
Mohamed selepas beliau dihubungi sendiri oleh anak sulung Allahyarham
Mansor pagi ini.
Pengurusan jenazah akan dilakukan di Hospital Ampuan Rahimah, Klang sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Delek.
Mansor ditahan di hospital sejak minggu lalu kerana mengalami masalah
kesihatan sebelum tidak sedarkan diri dan bergantung dengan bantuan
pernafasan melalui mesin.